KUALA LUMPUR – Kegiatan pelacuran wanita warga asing dengan berselindung di sebalik premis hiburan dan hotel murah diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di tiga lokasi sekitar Kuchai, Sri Petaling dan Cheras pada 9 Julai lalu.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 89 warga asing termasuk warga tempatan ditahan disyaki terlibat dengan aktiviti persundalan wanita warga asing.
Serbuan Ops Gegar itu dilakukan hasil risikan dijalankan oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya.
Dalam serbuan pertama pukul 3 petang, dua premis diserbu dan menahan seramai 26 wanita warga asing terdiri daripada enam wanita warga Thailand, (8) warga Indonesia, 11 warga Vietnam dan satu warga Myanmar disyaki menawarkan perkhidmatan seks.
“Turut diberkas dua lelaki warga Bangladesh dan Pakistan dipercayai bekerja di premis itu, manakala empat warga tempatan ditahan disyaki sebagai penjaga ‘kapten’ premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Zakaria, semakan mendapati sindiket itu menggunakan hotel bajet sebagai lokasi kegiatan dengan menawarkan wanita warga Thailand, Vietnam, Myanmar dan Indonesia pada harga antara RM190 hingga RM480.
“Modus operandi sindiket ini dengan mempromosikan perkhidmatan di laman sesawang dan pelanggan akan menempah melalui aplikasi WhatsApp serta Telegram sebelum diarah ke lokasi tersebut,” jelasnya.
Seterusnya dalam serbuan pukul 10.55 malam, serbuan dilakukan dengan di sebuah pusat hiburan yang menawarkan wanita pelayan pelanggan (GRO) warga asing dengan 96 individu telah diperiksa.
Daripada jumlah itu, 61 warga asing ditahan melibatkan 44 wanita warga Thailand, (2) wanita warga Vietnam, (4) wanita warga Laos, (2) wanita warga Myanmar disyaki bekerja sebagai GRO.
Ia termasuk lima lelaki warga Bangladesh serta empat lelaki warga Thailand dipercayai bekerja di premis hiburan itu dan kesemuanya telah dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Pasport 1966, selain mengeluarkan notis untuk hadir bagi membantu siasatan kepada tujuh warga tempatan. – MalaysiaGazette
















