Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) sedang membersihkan sisa bahan kimia berkenaan. Foto JBPM

SHAH ALAM – Kemalangan melibatkan sebuah lori membawa muatan bahan kimia dengan sebuah lagi lori lain menyebabkan berlakunya tumpahan asid nitrik di Jalan Besar Sabak Bernam, Sungai Besar di sini semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 7.01 petang semalam sebelum menggerakkan anggota ke lokasi.

Beliau berkata setibanya di lokasi pihaknya mendapati telah berlaku kemalangan melibatkan lori membawa bahan kimia dengan sebuah lori lain, menyebabkan tong yang mengandungi bahan kimia jatuh dan mengalami kebocoran.

“Pemeriksaan mendapati tumpahan asid nitirik 68 peratus daripada 40 tong dan calsium hypochlorite 70 peratus sebanyak 24 tong (peratusan merujuk kepada jenis kepekatan bahan kimia bukan merujuk peratusan tumpahan).

“Terdapat satu mangsa lelaki, iaitu pemandu lori tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata sisa bahan kimia itu telah dibersihkan oleh Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) sebelum operasi tamat sepenuhnya pada 2.42 pagi tadi.

Beliau berkata operasi berkenaan melibatkan 24 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam, BBP Sungai Besar serta dibantu pasukan Hazmat BBP Rawang.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast