KUALA LUMPUR – Pembangkang menolak gesaan sekumpulan Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) diketuai Datuk Seri Rafizi Ramli supaya menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung krisis pelantikan dalam badan kehakiman.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pembangkang mempunyai pandangan berbeza berhubung cadangan itu atas alasan ia bukan satu mekanisme yang cukup berkesan.
Jelas beliau, ia memandangkan cadangan RCI itu masih berada di bawah kawalan dan budi bicara penuh Perdana Menteri yang bertindak memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong.
Tambahnya, pendirian itu juga selaras dengan kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin, bahawa PN tidak yakin Perdana Menteri akan membenarkan sebuah RCI ditubuhkan bagi menyiasat dirinya sendiri di samping ia memerlukan keputusan Kabinet yang juga dipengerusikan oleh beliau.
“Justeru MP-PN tidak dapat menyatakan sokongan kepada cadangan dan gesaan YB Rafizi dalam hal tersebut.
“Walau bagaimanapun PN akan menilai apa-apa perkara berkaitan yang mungkin dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pandan itu dalam sidang Parlimen yang bermula 21 Julai 2025 ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Takiyuddin mengesahkan ahli-ahli Parlimen PN telah menerima sepucuk surat bertarikh 9 Julai lalu daripada Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan bertajuk “Sokongan Terhadap Tuntutan Menegakkan Integriti Kehakiman Negara”.
Ujarnya, ahli-ahlli Parlimen PN pada dasarnya menghargai pendirian Rafizi dalam isu kehakiman negara yang sebahagian besarnya ada persamaan dengan pendirian PN selama ini.
“Ini termasuklah soal peranan JAC (Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman) dan kuasa eksklusif YAB Perdana Menteri dalam soal pelantikan hakim-hakim di mahkamah tertinggi,” katanya.
Sebelum ini, Rafizi serta lapan lagi ahli Parlimen PKR lain telah menghantar surat rasmi kepada semua Ahli Parlimen bagi mendapatkan sokongan terhadap cadangan penubuhan RCI berkait pelantikan dalam institusi kehakiman.
Menurut Rafizi, langkah itu dibuat bagi mengenal pasti pihak yang benar-benar bersetuju atau tidak bersetuju dengan usaha menegakkan integriti institusi kehakiman melalui satu siasatan yang bebas dan berwibawa. – MalaysiaGazette
















