KUALA LUMPUR – Kira-kira 20 penduduk Kampung Sungai Baru hari ini menyerahkan memorandum tuntutan hak dan keadilan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) supaya campur tangan terhadap pengusiran para penghuninya pada 16 Julai ini.
Pengerusi jawatankuasa dan hak penduduknya, Zainab Alias berkata, ia bagi menyatakan kebimbangan serta bantahan terhadap tindakan kerajaan didakwa dipergunakan pihak pemaju bagi tujuan pengambilan tanah secara paksa.
“Tindakan ini tidak perlembagaan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 [Seksyen 3(1)(c)]. Kerajaan atau mana-mana pihak tidak boleh menghalau kami kerana tanah yang kami duduki ketika ini berstatus Malay Agricultural Settlement (MAS).
“Kini kami berdepan dengan pengusiran secara paksa, perobohan rumah dan rampasan tanah bagi projek swasta dengan tujuan pembangunan komersial yang tidak melibatkan persetujuan menyeluruh pemilik tanah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Terdahulu Zainab bersama selebriti tempatan, Rafidah Ibrahim bersama kira-kira 20 penduduk kampung terbabit menyerahkan memorandum kepada Setiausaha SUHAKAM, Altaf Deviyati Ismail.
Turut hadir peguam, Zaid Malek dan Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali.
Zainab seterusnya menggesa kerajaan pusat agar campur tangan segera dalam isu ini kerana pengambilan tanah secara paksa di bawah Seksyen 3(1)(c) adalah tidak berperlembagaan dan menindas.
“Kerajaan perlu menggantikan tanah yang setara dengan nilai kepada penduduk Kg Sg Baru jika tanah itu ingin dibangunkan pihak pemaju.
“Penduduk mesti dilibatkan secara terus dan menyeluruh dalam semua proses pembangunan semula,” katanya.
Selain itu, Zainab juga mendesak kerajaan memansuhkan Seksyen 3(1)(c) APT 1960 yang menyalahgunakan kuasa demi kepentingan pemaju.
“Tarik balik dan kaji semula Rang Undang-Undang Akta Pembaharuan yang membolehkan pengambilan tanah tanpa persetujuan sah pemilik,” katanya.
Katanya lagi, para penduduk Kampung Sungai Baru merayu SUHAKAM agar memainkan peranan dalam mempertahankan hak asasi penduduk terlibat.
“SUHAKAM perlu mengadakan suatu inkuiri terhadap pengambilan tanah secara paksa oleh pihak kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast