KUALA LUMPUR – Seorang pengurus syarikat kitar semula didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan adiknya menggunakan invois palsu untuk memohon Permit Import tiga tahun lalu.
Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu ke atas Ch’ng Wilson, 33, dan memerintahkan lelaki itu dipenjara tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, bapa dua anak itu didakwa bersubahat dengan Ch’ng Wei Jie, 26, menggunakan tiga invois palsu sebagai dokumen sokongan bagi permohonan Lesen Permit Import melalui sistem Dagang Net di Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Putrajaya pada 7 Februari 2022.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 471 dan 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah membantu sebuah syarikat kitar semula yang lain milik rakannya untuk memohon keputusan permit import (AP) dengan menggunakan invois palsu sedangkan syarikat yang diuruskan tertuduh hanya mempunyai kelulusan untuk membawa sisa plastik dari Amerika Syarikat, Jepun, Hong Kong dan United Kingdom sahaja.
Tertuduh bersubahat dengan mengarahkan Wei Jei untuk memohon tiga AP dengan menggunakan tiga invois palsu bagi membawa masuk keempat-empat kontena menggunakan pemilik dagangan yang didaftar atas nama seorang lagi adik tertuduh iaitu Ch’ng Huey Ning.
Semasa rayuan terhadap hukuman, Wilson yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda yang rendah kerana dia berpendapatan RM8,000 sebulan perlu menyara dua anak yang masih kecil selain ia adalah kesalahan pertama tertuduh dan berharap mahkamah memberinya peluang untuk berubah.
Timbalan Pendakwa Raya, Hazel Tan Jia Qi pula memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak melakukan kesalahan itu.
“Sekiranya mahkamah mengenakan hukuman denda, saya mohon denda berjumlah RM30,000 bagi kesemua pertuduhan dengan mengambil kira tertuduh mengaku bersalah dan menjimatkan masa serta kos semua pihak,” katanya. – MalaysiaGazette
















