Gambar hiasan

LONDON – Britain bersiap sedia menghadapi gelombang haba ketiganya tahun ini, dengan keadaan cuaca yang sangat panas dan kering melanda sebahagian besar negara itu.

Menurut Pejabat Meteorologi (Met Office), kawasan yang luas di Britain telah memenuhi kriteria rasmi gelombang haba, dengan cuaca panas, kering, dan cerah yang dijangka berterusan sepanjang hujung minggu.

Tekanan tinggi kekal dominan dan suhu diramalkan mencecah antara 33 hingga 34 darjah Celsius di beberapa kawasan dalam dua hari akan datang.

Ketua Ahli Meteorologi Met Office, Steve Willington, berkata, gelombang haba kali ini lebih meluas berbanding gelombang sebelumnya pada musim panas ini.

Pada hari Jumaat, Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom dan Met Office mengeluarkan amaran kesihatan haba tahap ambar untuk sebahagian besar England.

Di bawah sistem amaran cuaca-kesihatan yang digunakan,  kesan cuaca mungkin dirasai di seluruh sistem perkhidmatan kesihatan.

Pada tahap amaran ini, kesan terhadap kesihatan mungkin mula dilihat dalam kalangan populasi umum.

Risiko meningkat bagi individu berusia lebih 65 tahun dan mereka yang mempunyai penyakit sedia ada, termasuk penyakit pernafasan dan kardiovaskular.

Agensi Alam Sekitar melaporkan, England sedang mengalami permulaan tahun paling kering sejak 1976.

Pada bulan Jun, paras takungan menurun di hampir tiga perempat daripada tapak pemantauan, dengan semua wilayah kini mencatatkan simpanan air di bawah purata.

Agensi itu memberi amaran bahawa keadaan kering yang berterusan boleh menambah tekanan ke atas sumber air dan alam sekitar.

Dr Tim Fox, felo di Institution of Mechanical Engineers dan pengarang bersama laporan tentang penyesuaian terhadap perubahan iklim menegaskan,  gelombang haba baru-baru ini di Britain bukanlah kejadian terpencil, sebaliknya dijangka menjadi semakin lazim pada masa akan datang.

“Apabila musim panas UK menjadi semakin panas, dengan tempoh suhu tinggi yang lebih lama, kesannya akan melangkaui ketidakselesaan peribadi,” katanya. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast