MARAN – Seorang guru sekolah agama maut apabila kereta yang dipandunya terbabas lalu bertembung dengan sebuah lori mesin gerudi di Jalan Besar Jengka 20, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintenden Wong Kim Wai berkata, mangsa, Nurfarah Izyan Ismail, 28, disahkan meninggal dunia di lokasi nahas akibat kecederaan parah pada jam 9.30 pagi.
Menurutnya, mangsa memandu Perodua Myvi dalam perjalanan pulang dari tempat mengajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Al-Basriah, di sini, ke rumahnya di Taman Gau, Temerloh.
”Apabila perjalanan sampai di tempat kejadian, kenderaan dipandu guru terbabit telah hilang kawalan dan masuk arah bertentangan dan bertembung dengan kenderaan mesin penggerudi.
”Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa telah meninggal dunia manakala tiga mangsa yang menaiki lori telah dibawa ke Hospital Jengka untuk rawatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Tambah Kim Wai, hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku di atas kecuaian pemandu Myvi yang gagal mengawal kenderaan dan masuk laluan bertentangan sehingga menyebabkan kemalangan.
Mayat mangsa dibawa ke hospital bagi tujuan bedah siasat dan kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -MalaysiaGazette
















