FENOMENA LGBTQ (Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender dan Queer) merupakan isu yang sedang hangat diperkatakan pada waktu ini. Penduduk Malaysia yang majoritinya beragama Islam mula merasakan kebimbangan tentang penyebaran budaya negatif yang semakin menular seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan.
Budaya menukar jantina atau menjalin hubungan intim sesama jantina perlulah ditegah dan dibanteras. Paling menyedihkan, terdapat segelintir pihak yang menyokong kumpulan ini dengan menggunakan alasan kebebasan dan hak asasi manusia.
Kajian menunjukkan gejala ini melibatkan kaum Cina sebagai golongan tertinggi merangkumi 70 peratus daripada bilangan pengamal, diikuti dengan kaum Melayu iaitu sebanyak 19 peratus dan bakinya 11 peratus merupakan kaum-kaum lain di Malaysia. Pada tahun 2013, jumlah komuniti ‘gay’ adalah seramai 173,000 dan meningkat sebanyak sekali ganda kepada 310,000 dalam tahun 2018.
Golongan transgender pula seramai sekitar 10,000 orang dalam tahun 1998 dan meningkat kepada 30,000 pada 20 tahun kemudian. Perkara ini menjadi kebimbangan terutamanya dalam sektor kesihatan apabila mendapati kes HIV dalam kalangan pengamal hubungan sejenis sesama lelaki meningkat secara mendadak dari 63 kes pada tahun 2000 kepada 1697 kes pada tahun 2017.
Statistik terkini daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bahawa golongan ini juga menyumbang sebanyak 64 peratus daripada penyebab jangkitan HIV pada tahun 2024. Jumlah ini akan terus meningkat sekiranya gejala ini tidak dibendung dengan segera.
Antara faktor yang menjadi punca rakyat Malaysia terlibat dalam gejala songsang ini adalah kurangnya penghayatan dalam agama, pengaruh rakan, faktor kekeluargaan, masyarakat dan diri sendiri serta keserasian antara pasangan sejenis. Selain itu, terdapat juga kajian yang menyentuh tentang faktor didikan ibu bapa dan masalah dalam keluarga yang menjadi punca utama kepada masalah ini dalam kalangan masyarakat. Terdapat juga faktor seperti penderaan seksual atau mungkin ramai juga yang telah mengalami amang seksual yang berlaku pada usia yang lebih muda.
Bagi membendung gejala ini daripada terus menular, terdapat beberapa langkah yang perlu diambil bukan sahaja daripada pengamal itu sendiri malah memerlukan
penggemblengan tenaga daripada ahli keluarga dan masyarakat. Pengetahuan agama dan akidah yang mantap perlu dipasakkan di dalam kehidupan segenap ahli masyarakat dengan bantuan pelbagai pihak seperti Jabatan Agama Islam, badan-badan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) demi mengembalikan golongan ini kepada fitrah yang suci.
Ibu bapa juga perlu cakna tentang perkembangan anak-anak dan mengenal pasti perubahan yang berlaku bukan sahaja secara fizikal malah perubahan emosi, spiritual dan intelektual. Pemantauan yang rapi juga diperlukan dalam proses perkembangan anak-anak, pemilihan sahabat dan turut memeriksa aktiviti mereka di media sosial dan penggunaan gajet.
Terdapat juga segelintir ibu bapa yang menggalakkan atau memakaikan anak mereka dengan pakaian jantina yang berlainan. Perlakuan sebegini juga mungkin boleh membawa kepada kecelaruan gender dan mengganggu perkembangan seksual anak-anak mereka.
Dalam Islam, hubungan sesama jenis merupakan salah satu larangan dan turut merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar. Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan (Kami juga telah menghantar) Luth (kepada kaumnya). Sesungguhnya dia adalah seorang Rasul yang melihat (kebatilan kaumnya). (Ingatlah) ketika dia berkata kepada mereka: ‘Mengapakah kamu mengerjakan perbuatan fahisyah itu, sedangkan kamu melihat (bahaya dan dosa perbuatan itu)?”. (Surah Al-A’raf: 80-81)
Hakikatnya, kerjasama pelbagai pihak secara holistik amat penting dalam membantu golongan yang telah terjebak ini untuk kembali ke fitrah asal iaitu salah satu daripada dua jantina – lelaki atau wanita. Semoga dengan kerjasama yang padu daripada pelbagai pihak dapat membantu membawa dan membimbing golongan ini ke jalan yang diredai Allah SWT. “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”.
(Surah Ar-Ra’d:11).
Oleh: Prof. Madya Dr. Aspalilah Alias
Pensyarah, Universiti Sains Islam Malaysia
Timbalan Presiden II PAPISMA
Dr. Jannatul Madihah Abu Bakar
Setiausaha WARAK Malaysia
















