Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

KUALA LUMPUR – Majlis Raja-Raja Melayu yang bakal bersidang minggu depan digesa supaya menolak sebarang pencalonan membabitkan seorang hakim kanan kini berdepan dengan prosiding mahkamah dan dikaitkan dengan dakwaan campur tangan dalam kehakiman.

Peguam Haniff Khatri Abdulla berkata, sama ada nama hakim kanan itu dicadangkan oleh Perdana Menteri atau Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) untuk mengisi jawatan tertinggi dalam badan kehakiman, isu integriti individu itu perlu diberi keutamaan.

“Majlis Raja-Raja wajar menggunakan budi bicara perlembagaan mereka untuk menolak pencalonan berkenaan,” katanya menerusi saluran Youtube malam tadi.

Haniff mendakwa hakim berkenaan berdepan dengan tiga isu kontroversi iaitu mengenai menghina mahkamah berkaitan titah addendum, laporan polis mengenai titah adendum dan satu lagi melibatkan kehakiman.

“Persoalannya apabila mana-mana hakim masih belum diputuskan dengan prosiding penghinaan mahkamah dan siasatan oleh polis, bolehkan beliau dipertimbang menjadi calon untuk mengisi jawatan atas pada masa ini.

“Isu integriti perlu diselesaikan terlebih dahulu, jika berjaya atas penghinaan mahkamah dan dilepaskan oleh polis maka pada masa itu jika ada kekosongan boleh dipertimbangkan, tetapi bukan pada ini,” tambah beliau.

Justeru, beliau memohon kepada Majlis Raja-Raja untuk melaksanakan kuasa dengan menolak cadangan nama hakim itu jika dibawa oleh perdana menteri atau Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).

Apatah lagi, dakwanya, hakim berkenaan baharu sahaja dilantik sebagai Hakim Persekutuan tanpa pengalaman di Mahkamah Tinggi sekalipun.

Jelasnya, pada masa ini, masih terdapat enam orang hakim kanan yang mempunyai baki sekurang-kurangnya dua tahun atau lebih untuk berkhidmat.

“Mereka ini boleh mendapat perhatian daripada Majlis Raja-Raja,” ujarnya.

Haniff berkata, sekiranya, Majlis Raja-Raja menerima cadangan nama hakim berkenaan bagi mengisi jawatan tertinggi hakim maka integriti kehakiman akan terkesan.

“Bagaimanakah jika prosiding mahkamah dan siasatan polis melibatkan integriti beliau,  bagaimana sistem kehakiman hendak dilepaskan daripada tercemar

“Bukankah ia satu tamparan hebat jika seorang hakim, apatah lagi memegang jawatan tertinggi didapati menghina mahkamah atau didapati melakukan apa-apa kesalahan jenayah,” soal beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast