NEW DELHI – Suis kawalan bahan api kepada enjin pesawat Air India yang terhempas sejurus selepas berlepas, mengorbankan 260 orang, telah dialihkan dari kedudukan run ke cutoff beberapa detik sebelum nahas, menurut laporan siasatan awal yang dikeluarkan oleh Biro Siasatan Kemalangan Pesawat India.
Bagaimanapun, laporan awal itu tidak membuat sebarang kesimpulan atau menyalahkan mana-mana pihak dalam tragedi pada 12 Jun itu.
Laporan itu turut mendedahkan seorang juruterbang bertanya kepada rakannya mengapa dia memotong bekalan bahan api, dan juruterbang kedua menjawab dia tidak melakukannya.
Pesawat Boeing 787-8 Dreamliner itu dalam perjalanan dari Ahmedabad di barat India ke London ketika ia terhempas, mengorbankan semua kecuali seorang daripada 242 orang di atas kapal serta 19 orang di darat.
Dalam laporan setebal 15 muka surat itu, biro siasatan mendedahkan sebaik sahaja pesawat mencapai kelajuan tertingginya yang direkodkan, suis kawalan bahan api bagi Enjin 1 dan Enjin 2 telah beralih dari kedudukan run ke cutoff satu demi satu dengan selang masa satu saat”.
“Dalam rakaman suara kokpit, salah seorang juruterbang kedengaran bertanya kepada yang lain kenapa dia memotong bekalan. Juruterbang itu menjawab bahawa dia tidak melakukannya,” menurut laporan itu.
Pesawat itu kemudian mula kehilangan altitud dengan cepat.
Suis tersebut kemudian kembali ke kedudukan run dan enjin kelihatan sedang cuba mengumpulkan kuasa, tetapi “salah seorang juruterbang mengeluarkan isyarat ”Mayday Mayday Mayday”, kata laporan tersebut.
Pengawal trafik udara bertanya kepada juruterbang apa yang berlaku, tetapi kemudian melihat pesawat itu terhempas dan segera memanggil pasukan kecemasan ke lokasi kejadian.
Awal minggu ini, laman web khusus The Air Current, yang memetik beberapa sumber yang mengetahui siasatan itu, mendakwa fokus telah “diperincikan kepada pergerakan suis bahan api enjin”, sambil menyatakan analisis penuh akan “mengambil masa berbulan-bulan — jika tidak lebih lama”.
Ia turut menambah, “fokus penyiasat mungkin berubah sepanjang masa itu”.
Laporan agensi India itu menyebut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) telah mengeluarkan buletin maklumat pada 2018 mengenai “kemungkinan penyahaktifan ciri penguncian suis kawalan bahan api”.
Walaupun kebimbangan itu tidak dianggap sebagai “keadaan tidak selamat” yang memerlukan arahan lebih tegas, Air India memberitahu penyiasat mereka tidak menjalankan pemeriksaan yang disyorkan kerana ia dianggap sebagai “nasihat dan bukan mandatori”.
Air India mematuhi semua arahan kesesuaian udara dan buletin perkhidmatan amaran terhadap pesawat itu, menurut laporan tersebut.
Biro siasatan berkata, tiada “tindakan yang disyorkan kepada pengendali atau pengeluar B787-8 dan/atau enjin GE GEnx-1B”, menunjukkan tiada isu teknikal dengan enjin (GE) atau pesawat (Boeing).
Biro itu berkata, siasatan masih diteruskan dan bukti tambahan serta maklumat telah “diminta daripada pihak berkepentingan”.
Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menetapkan negara yang mengetuai siasatan mesti mengemukakan laporan awal dalam tempoh 30 hari selepas kemalangan.
Pesawat itu membawa 230 penumpang — 169 warga India, 53 warga Britain, tujuh warga Portugal dan seorang warga Kanada — bersama 12 anak kapal.
Berpuluh-puluh orang di darat turut cedera.
Seorang penumpang terselamat secara ajaib, seorang warga Britain yang dilihat berjalan keluar dari runtuhan nahas dan sejak itu telah dibenarkan keluar dari hospital.
Pegawai kesihatan di negeri Gujarat, India, pada mulanya melaporkan sekurang-kurangnya 279 orang terbunuh, tetapi ahli forensik kemudian mengurangkan jumlah itu selepas mengenal pasti beberapa mayat yang bertaburan dan terbakar teruk. – Agensi
















