KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan keputusan mengekalkan waktu bekerja syif kepada 42 jam akan membantu menjaga tahap kesihatan fizikal, mental dan emosi petugas kesihatan.
Dalam masa sama, Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata, keputusan itu juga akan memastikan kualiti perkhidmatan kesihatan awam kekal pada tahap terbaik.
Selain itu, tambah beliau, langkah tersebut turut disifatkan satu tindakan yang penuh hikmah dan selari dengan semangat Malaysia Madani, yang mengutamakan nilai ihsan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta penjawat awam.
“CUEPACS sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana terus memberi ruang kepada rundingan dan suara kesatuan sekerja dalam membuat keputusan dasar berkaitan perkhidmatan awam.
“Kami akan terus komited memperjuangkan kebajikan penjawat awam selaras dengan aspirasi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan kerajaan bersetuju memberi pengecualian terhadap pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam seminggu kepada lima skim perkhidmatan kritikal di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), dengan menetapkan waktu bekerja hanya 42 jam seminggu.
Pengecualian itu membabitkan 82,637 petugas barisan hadapan, merangkumi jururawat, jururawat masyarakat, pegawai perubatan di jabatan kecemasan, penolong pegawai perubatan dan pembantu perawatan.
Sementara itu, Adnan menambah, langkah tersebut jelas menunjukkan bahawa kerajaan mendengar dan memahami suara serta kebimbangan yang telah disuarakan oleh kesatuan sekerja dan para petugas kesihatan yang saban hari bergelut di barisan hadapan menyelamatkan nyawa rakyat tanpa mengira waktu dan keadaan. – MalaysiaGazette
















