EGM Badan peguam
Badan Peguam Malaysia. foto SYAFIQ AMBAK, 14 MAC 2020 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Kurang 24 jam, ahli-ahli yang menganggotai Badan Peguam Malaysia akan menyertai Perarakan Membela Kebebasan Kehakiman bermula dari Istana Kehakiman, Putrajaya ke Pejabat Perdana Menteri.

Perarakan sejauh 2.6 kilometer bermula pukul 2 petang esok akan berakhir dengan penyerahan memorandum mengandungi empat tuntutan kepada pejabat berkenaan.

Tuntutan itu termasuk mengisi kekosongan jawatan tertinggi kehakiman, mendedahkan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) baru-baru ini, membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat campur tangan kehakiman dan menangani kekosongan keseluruhan kehakiman.

Bangunan Istana Kehakiman di Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 2 DISEMBER 2024 (GAMBAR FAIL)

Umum mengetahui bahawa perarakan itu akan disertai oleh sebilangan peguam yang turut mempunyai prosiding mahkamah pada hari yang sama.

Lantaran itu, pada 8 Julai lalu, Badan Peguam Malaysia mengemukakan permohonan kepada Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan agar ahli-ahlinya dibenar menangguhkan kes bagi membolehkan mereka menyertai perhimpunan dan perarakan secara aman.

Namun, permohonan itu ditolak melalui maklum balas secara e-mel atas alasan kes-kes yang telah ditetapkan pada hari tersebut telah dijadualkan lebih awal dan melibatkan pelbagai pemegang taruh.

Maklum balas itu turut menyatakan, kes-kes tersebut juga melibatkan pihak-pihak yang berkepentingan, saksi-saksi dan pegawai yang telah membuat persiapan lebih awal bagi tujuan perbicaraan.

Kali terakhir peguam mengadakan perarakan sedemikian ialah pada 17 Jun 2022 bagi membantah pengumuman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai siasatan terhadap Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) susulan laporan sebuah blog.

Perarakan esok merupakan hasil keputusan resolusi yang diluluskan semasa Mesyuarat Agung Tahunan Badan Peguam Malaysia ke-79 pada 15 Mac 2025, lanjutan daripada pertimbangan teliti oleh Majlis Peguam.

Presiden Badan Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab dalam kenyataan pada 9 Julai lalu menegaskan, perarakan itu bukan mengenai individu tertentu, sebaliknya demi integriti institusi kehakiman.

Menurut beliau, perarakan itu bukan semata-mata untuk para peguam, sebaliknya untuk setiap rakyat Malaysia yang menghargai keadilan.

“Apabila kebebasan badan kehakiman menjadi rapuh, seluruh negara menanggung akibatnya.

“Perarakan itu satu tindakan yang sah di sisi undang-undang, aman dan bersifat simbolik yang mencerminkan komitmen teguh profesion guaman dalam mempertahan Perlembagaan Persekutuan, doktrin pengasingan kuasa dan kedaulatan undang-undang.

“Ia adalah kenyataan kolektif bahawa kebebasan badan kehakiman bukan sesuatu yang boleh dirunding dan ia mesti dilindungi daripada sebarang pengaruh luar, sama ada bersifat politik, badan Eksekutif atau sebaliknya,” ujar kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu, Badan Peguam Malaysia menolak sekeras-kerasnya laporan portal berita yang menggambarkan perarakan itu sebagai satu bentuk protes terhadap keputusan kerajaan untuk tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Ujarnya, sebarang percubaan untuk menggambarkan perarakan itu sebagai protes, disifatkan sebagai mengelirukan dan menjejaskan pendirian badan itu.

“Fokus Badan Peguam Malaysia adalah terhadap isu-isu struktur dan sistemik yang menjejaskan Badan Kehakiman. Ini termasuk perkembangan terbaru melibatkan kelewatan pelantikan tanpa sebarang penjelasan serta rujukan-rujukan membimbangkan mengenai kemungkinan campur tangan dalam urusan kehakiman yang telah mencetuskan kebimbangan yang serius,” ujar kenyataan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Masa Maimon dilantik tanpa ikut procedure sbgmna yg didedahkan oleh Mantan Ketua Hakim Negara…Bar Council diam mcm lembu kenyang plak..

Comments are closed.