KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam mengekang penyebaran fahaman ekstremis dalam kalangan mahasiswa di negara ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, setakat ini mahasiswa masih bebas daripada gerakan militan itu.
“Kita sentiasa memantau dengan kerjasama pihak keselamatan, khususnya pihak polis untuk memastikan fahaman (ekstremis) sebegini tidak tersebar, sama ada ia datang dari dalam ataupun luar.
“Jadi kerjasama pihak pemerintah pendidikan tinggi dan pihak keselamatan sentiasa berada di tahap yang baik,” katanya ketika ditemui pemberita di UTM Hotel & Residence, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa 2025.
Pada 4 Julai lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mendedahkan, Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) berpaksikan fahaman ekstremis menggunakan Facebook, WhatsApp dan Telegram untuk merekrut ahli baharu di negara ini.
Mohd Khalid berkata, Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman mengesan beberapa akaun Facebook menyebarkan propaganda itu menggunakan alamat IP di Malaysia dan dikendalikan warganegara Bangladesh yang bekerja di negara ini.
Pada 27 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan polis berjaya menumpaskan satu rangkaian militan warga asing dengan penahanan 36 warganegara Bangladesh disyaki terbabit secara langsung dalam GMRB berpaksikan fahaman ekstremis dan ideologi keganasan.
Sebahagian daripada 36 warganegara Bangladesh ditahan kerana disyaki terbabit aktiviti militan di negara ini disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). – MalaysiaGazette
















