Bangunan Istana Kehakiman di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Majlis Raja-Raja diminta untuk segera campur tangan berhubung pendedahan Minit Mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) Bil. 5/2025 bertarikh 16 Mei 2025 bagi memelihara kedaulatan Perlembagaan dan kebebasan badan kehakiman sebagai tiang utama sistem demokrasi berparlimen.

Ia kerana, pendedahan dalam minit mesyuarat itu mengejutkan dan berat terhadap salah seorang calon bagi jawatan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya.

Sekretariat Perunding pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGI) ( SPISE) Selangor menegaskan pelantikan hakim ke jawatan tertinggi dalam badan kehakiman mesti bebas daripada sebarang pengaruh politik, tekanan luar atau kompromi integriti.

Lantaran itu, SPISE Selangor menuntut agar pelantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya ditangguhkan segera, dan proses siasatan bebas dijalankan terhadap dakwaan yang dinyatakan dalam mesyuarat SPK tersebut.

“Kami menggesa penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat campur tangan eksekutif dalam badan kehakiman, khususnya melibatkan bekas Peguam Negara,” kata setiausahanya, Mohd Yusof Abdullah dalam satu kenyataan di sini.

Tegasnya, sekiranya dakwaan minit mesyuarat yang tular ini disahkan benar, SPISE Selangor menuntut semua pelantikan kehakiman yang dipengaruhi individu terbabit disemak semula dan dibatalkan.

Menurutnya, institusi kehakiman tidak boleh dikuasai oleh tangan-tangan politik.

Malah, rakyat tidak akan berdiam diri melihat sistem keadilan dinodai.

“Kami menyeru seluruh masyarakat madani untuk bangkit mempertahankan integriti sistem kehakiman negara — demi keadilan, demokrasi, dan maruah undang-undang,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast