LYON – Seorang banduan yang melarikan diri dari penjara di Perancis minggu lalu telah ditangkap semula awal pagi Isnin, menurut pihak pendakwa raya awam Perancis.
Lelaki berusia 20 tahun itu meloloskan diri dari Penjara Corbas di tenggara Perancis dengan bersembunyi di dalam beg pakaian yang dibawa keluar oleh rakan sebiliknya yang dibebaskan minggu lalu.
Dia ditangkap kira-kira jam 6 pagi waktu tempatan (0400 UTC) ketika keluar dari sebuah bilik bawah tanah di Sathonay-Camp, pinggir bandar Lyon.
Menurut pejabat pendakwa raya, rakan subahat banduan tersebut masih belum dikesan atau ditahan.
Operasi penangkapan semula dijalankan tanpa sebarang kecederaan.
Laporan media tempatan menyatakan banduan itu sedang menjalani sekurang-kurangnya dua hukuman penjara dan turut disiasat kerana terlibat dengan jenayah terancang.
Akhbar Le Parisien melaporkan rakan sebilik banduan tersebut telah meminta troli daripada kakitangan penjara untuk membawa barang-barangnya ke kereta.
Banduan berkenaan kemudian menyelinap ke dalam beg dobi besar yang turut dibawa keluar bersama barang-barang lain.
Menurut Pengarah Pentadbiran Penjara Perancis, Sebastien Cauwel, kejadian seperti ini “amat jarang berlaku”.
Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai satu pendedahan kepada “siri kelemahan serius” dalam sistem penjara berkenaan.
Cauwel turut mengesahkan siasatan dalaman telah dimulakan sebaik sahaja kejadian diketahui, iaitu kira-kira 24 jam selepas kejadian berlaku.
Beliau juga mendedahkan penjara Lyon-Corbas mempunyai kadar kepadatan penghuni 170%, yang menyukarkan lagi tugas kakitangan penjara.
“Kejadian ini mendedahkan kesilapan materialdan mungkin juga kecuaian yang akan didedahkan melalui siasatan,” katanya.
Penangkapan semula banduan ini berlaku hasil daripada siasatan meluas oleh pihak berkuasa tempatan. – Agensi
















