TOKYO – Bekas Maharaja Jepun, Akihito, 91, telah dimasukkan ke hospital pada Isnin bagi menyesuaikan dos ubat jantungnya, menurut kenyataan rasmi dari Istana Diraja Jepun.
Akihito, yang didiagnosis pada Mei lalu dengan myocardial ischemi – satu keadaan aliran darah ke otot jantung berkurang akibat penyempitan arteri koronari telah menjalani rawatan dengan ubat bagi meningkatkan aliran darah sambil menghadkan aktiviti fizikal dan pengambilan cecair.
Selepas dua bulan menggunakan ubat tersebut, doktor mendapati tiada perubahan ketara dalam keadaannya.
Oleh itu, rawatan tambahan diperkenalkan bagi mengurangkan beban pada jantung beliau, menurut Istana Jepun.
Menurutnya, Akihito dimasukkan ke hospital untuk menentukan dos yang tepat bagi ubat baharu tersebut, sambil memantau jantungnya melalui elektrokardiogram dan pemeriksaan lain untuk mengelakkan kesan sampingan.
Pada tahun 2012, Akihito pernah menjalani pembedahan pintasan arteri koronari.
Tiga tahun lalu, beliau juga disahkan mengalami kegagalan jantung kanan.
Ketika dibawa ke hospital, Akihito kelihatan di tempat duduk belakang kenderaan rasmi istana, memakai pelitup muka dan ditemani isteri beliau, Maharani Emerita Michiko.
Pihak istana tidak dapat mengesahkan berapa lama beliau akan dirawat di hospital. – Agensi
















