Album penuh terbaru Shila Amzah akan dikeluarkan hujung tahun ini.

KUALA LUMPUR – Penyanyi, Shila Amzah akhirnya mendedahkan identiti penyanyi legenda yang didakwa ‘menyerangnya’ baru-baru ini.

Menurut Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 35, penyanyi tersebut bukanlah Ella atau Datuk Awie tetapi bapa kepada aktres Nabila Huda.

“Apa yang pasti bukan Kak Ella bukan Datuk Awie. Siapa yang cakap Datuk Awie, tolong berhenti dan bukan nama-nama lain yang berada di konsert hari itu.

“Tapi bapa kepada Nabila Huda. Saya sahkan. Kalau lihat pada laporan, keterangan sudah diambil,” katanya dalam satu rakaman video semalam.

Sebelum ini, Shila mendakwa ‘diserang’ ketika sesi latihan Konsert Ulang Tahun ke-20 MR D.I.Y di Stadium Merdeka pada Khamis lalu, dipercayai berpunca daripada ciapan yang dibuatnya di platform X.

Dalam ciapan tersebut, Shila menyatakan sokongan terhadap luahan Nabila atau mesra dengan panggilan Abil berkenaan isu hubungan dengan ibu tiri.

Jelas Shila, dia tidak berniat mencampuri urusan sesiapa, sebaliknya hanya memberi sokongan sebagai rakan seindustri yang turut melalui pengalaman hampir serupa.

“Masalah keluarga saya sangat-sangat umum. Apabila saya mengeluarkan kenyataan menyokong kenyataan Abil sebagai rakan industri melalui liku-liku kehidupan bersama keluarga, sesuatu yang sama berlaku pada kami berdua.

“Saya rasa kita bagi sokongan pada rakan, tidak sebut nama sesiapa. Saya sebut lebih kepada mak tiri saya. Jadi apabila dikatakan saya mengacau keluarga orang lain, perkara itu sama sekali tidak benar. Tiada asas,” ujarnya.

Susulan insiden di konsert, Shila turut membuat laporan polis dan siasatan sedang dijalankan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad sebelum ini mengesahkan rasa tidak puas hati kerana mencampuri urusan keluarga dipercayai menjadi punca Shila diherdik oleh penyanyi legenda terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast