KLUANG – Seorang lelaki ditangkap basah ketika berkhalwat dengan isteri orang di sebuah rumah sewa di sini pukul 11.45 malam tadi.
Pasangan tersebut ditangkap dalam serbuan pihak Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam operasi cegah maksiat hasil maklumat orang awam.
“Penguat kuasa mendapati rumah yang diserbu itu didiami wanita berusia 28 tahun manakala pasangannya, lelaki bujang, 30 tahun.
“Daripada maklumat mengenai wanita itu, dia sudah bersuami sejak 2017 namun belum memiliki cahaya mata.
“Namun, dalam tempoh itu, mereka sudah tidak tinggal bersama-sama walaupun belum bercerai dengan suaminya yang berasal dari Mersing.
“Siasatan awal juga mendapati wanita itu mengenali kekasihnya ketika sama-sama bekerja di sebuah kedai makan di Kluang,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, perkenalan pasangan kekasih itu bermula apabila lelaki terbabit meminati sambal nasi lemak dimasak wanita hinggalah mereka jatuh cinta.
Mereka kemudian sepakat menyewa rumah sejak dua bulan lalu dan tinggal seperti suami isteri.
“Kedua-dua pasangan itu kemudian ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau 2 tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya. MalaysiaGazette
















