Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan memanggil dua saksi baharu esok bagi membantu siasatan berhubung penganjuran program motivasi rumah tangga (eHATI)  yang didakwa mengandungi unsur lucah dan jelik baru-baru ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, siasatan telah dimulakan dan beliau berharap kedua-dua individu terbabit dapat hadir memberikan keterangan.

“Ya, esok JAIS di bawah Bahagian Penguatkuasaan akan memanggil dua saksi terbabit. Saya difahamkan sebelum ini terdapat dua wanita yang membuat aduan kepada Bahagian Pendidikan JAIS.

“Namun kedua-dua pengadu itu dilaporkan agak keberatan untuk tampil memberikan maklumat.

“Saya harap supaya kita boleh perjelaskan isu ini dan semua orang faham dan kebenaran itu boleh kita zahirkan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pra Pelancaran MTHQA di sini hari ini.

Sehubungan itu Mohd Nai’m menyeru semua pihak yang mempunyai maklumat tampil membantu JAIS dalam menjalankan siasatan secara profesional agar kebenaran dapat didedahkan.

“Siasatan ini dijalankan dengan telus agar tiada pihak yang dizalimi. JAIS juga bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan menyiasat dari sudut Kanun Keseksaan atau kesalahan lain di bawah undang-undang sivil,” jelasnya.

Menurut Mohd Na’im, JAIS kini menyiasat kes itu mengikut Seksyen 7 Enakmen Jenayah Syariah Selangor yang berkaitan dengan penyebaran doktrin palsu.

“Saya harap mereka yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan agar isu ini dapat diselesaikan dengan baik dan berhemah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast