PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak menafikan perhimpunan pertahankan kebebasan kehakiman anjuran Majlis Peguam Malaysia hari ini mempunyai persamaan dengan Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai ini.
Beliau berkata, walaupun ia tiada kaitan langsung, namun kedua-dua himpunan mempunyai tuntutan yang sama iaitu mempertahankan kebebasan badan kehakiman di negara ini.
“Itu tidak secara langsung, kita rasa ia ada persamaan, 26 Julai ini juga kita membangkitkan krisis kehakiman yang berlaku sekarang ini.
“Akan ada jurucakap-jurucakap di sana nanti akan mengulas mengenai perkara ini.
“Jadi ada persamaan walaupun tidak ada kaitan langsung, cuma ada persamaan isu,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika berarak bersama 1,600 peguam ke pejabat Perdana Menteri, di sini, hari ini.
Terdahulu Presiden Majlis Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab bersama enam peguam menyerahkan memorandum kepada Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Zamri Mismat di pejabat Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, di sini, petang tadi.
Sebelum itu, Ezri mengetuai 1,600 pengamal undang-undang berhimpun di luar pekarangan Istana Kehakiman dan kemudian berarak ke pejabat Perdana Menteri dengan berjalan kaki sejauh 2.6 kilometer.
Dalam pada itu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas memuji Maljis Peguam Malaysia kerana menganjurkan perhimpunan paling besar melibatkan pengamal undang-undang sendiri.
“Ini himpunan yang terbesar yang pernah Majlis Peguam Malaysia buat, sebelum ini pernah ada cuma tidak seramai ini.
“Saya bukan sahaja ahli Parlimen, bahkan saya juga peguam turun ke program ini dan berjalan kaki ke bangunan Perdana Putra untuk pertahan kebebasan badan kehakiman,” katanya.
Selain itu, beliau menyifatkan perhimpunan dan perarakan melibatkan ribuan peguam itu sebagai baik dan simbolik kepada suara pengamal undang-undang yang bimbang kepada krisis kehakiman yang berlaku ketika ini.
“Mereka ini mewakili lebih 20,000 ahli Majlis Peguam Malaysia dari seluruh negara, turun untuk memberikan pandangan dan gesaan kepada pihak kerajaan khususnya dalam krisis kehakiman yang berlaku sekarang ini.
“Kita minta kerajaan khususnya perdana menteri mengambil pertimbangan sewajarnya daripada bantahan yang dibuat oleh Majlis Peguam Malaysia dan ahli-ahli mereka pada hari ini,” katanya.
Ditanya tentang kehadiran ramai anggota dan pegawai polis yang mengawal keselamatan dan lalu lintas sepanjang perhimpunan itu, Takiyuddin berkata, ribuan peguam yang hadir pada hari ini tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang dan Perlembagaan.
“Kita peguam, kita membuat sesuatu yang bukan di luar perundangan, program ini mengikut undang-undang.
“Tun Tengku Maimun dalam kesnya yang terakhir telah membuat keputusan Seksyen 9(5), Akta Perhimpunan Aman mengatakan kalau kita maklumkan perhimpunan kepada pihak berkuasa, ia dianggap satu kesalahan, beliau kata tidak, itu tidak berperlembagaan.
“Kalau kita tak bagitahu pihak berkuasa pun, ia bukan satu kesalahan jenayah di bawah undang-undang kerana ia tidak selaras dengan Perlembagaan,” katanya.
Katanya lagi, susulan pindaan Akta Perhimpunan Aman itu, Takiyuddin berharap rakyat dapat menyuarakan pandangan mereka secara terbuka dan terlibat dengan mana-mana perhimpunan dengan lebih aman dan tanpa gangguan pihak berkuasa.
“Rakyat kita harap dapat menyuarakan rasa hati mereka bila-bila masa sahaja kerana negara kita negara demokrasi yang mempunyai Perlembagaan menjamin kebebasan untuk berpersatuan berhimpun di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, itu jelas kepada kita semua.
“Jadi inilah kita melaksanakan sebagai tanggungjawab warganegara untuk pertahankan Perlembagaan dan undang-undang kita,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















