Razeef Rakimin. - Foto: Portal Suara Keadilan

KUALA LUMPUR – Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tuaran, Razeef Rakimin menyelar tindakan Ketua Cabang Johor dan Kedah yang mendesak supaya sembilan ahli Parlimen parti itu digantung kerana bersuara dalam isu krisis kehakiman.

Beliau yang juga bekas Ketua Penerangan PKR Sabah berkata, tindakan itu membelakangi semangat reformasi yang diperjuangkan parti tersebut sejak awal penubuhannya.

Jelasnya, mereka sepatutnya mempersoalkan isu yang dilihat lebih menimbulkan persoalan ketika ini antaranya mengapa dua kementerian yang diterajui PKR sebelum ini diberikan kepada UMNO.

“Adakah ini isyarat seolah-olah 19 ahli Parlimen Keadilan selain Rafizi (Datuk Seri Rafizi Ramli) dan Nik Nazmi (Nik Ahmad) tidak berkualiti?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, kesemua Ketua Cabang PKR di Johor dan Kedah menggesa siasatan tatatertib dan penggantungan serta-merta keahlian sembilan Ahli Parlimen parti itu susulan sidang media bagi mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pelantikan badan kehakiman.

Mereka menyifatkan pendekatan Ahli Parlimen terbabit yang diketua Rafizi melangkaui batas disiplin parti dan bercanggah dengan Kod Tataetika Anggota Keadilan merujuk Perkara 10.1 dan 10.2 Perlembagaan Parti khususnya berkaitan tanggungjawab menjaga nama baik parti, mematuhi keputusan parti dan mengelak daripada sabotaj dalaman.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengumumkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan diberi tanggungjawab menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi bagi menggantikan Rafizi.

Sementara itu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani diberi tanggungjawab menjalankan tugas serta fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang ditinggalkan Nik Nazmi.

Dalam pada itu, Razeef berkata, ketua-ketua Cabang PKR Johor dan Kedah sepatutnya memahami desakan yang dibuat sembilan ahli Parlimen PKR terbabit yang berkait dengan isu kepentingan awam.

Jelasnya, isu itu juga telah menjadi bahan spekulasi yang gagal dijawab oleh kerajaan dan sedikit sebanyak mengganggu sokongan pengundi atas pagar yang terpelajar.

“Adakah kita perlu membiarkan reformasi menjadi sekadar laungan namun prinsipnya dibakul sampahkan?

“Tindakan Ketua-Ketua cabang yang meminta sembilan ahli Parlimen Keadilan yang bersama Rafizi dipecat sebenarnya cuba menjadikan parti ini parti ‘bangsat’ dengan mengekang kebebasan bersuara serta menolak perbezaan pendapat,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.