Sebahagian individu peguam dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman dari perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya ke Pejabat Perdana Menteri. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 JULAI 2025

PUTRAJAYA – Majlis Peguam Malaysia mengesahkan kejayaan penganjuran perarakan Walk for Judicial Independence di hadapan Istana Kehakiman di Putrajaya selepas lebih 1,000 pesertanya tiba di Pejabat Perdana Menteri (PMO) di sini hari ini.

Perarakan sejauh 2.6 kilometer dari Istana Kehakiman berakhir dengan penyerahan memorandum tuntutan kepada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di JPM yang diketuai sendiri oleh Presiden Majlis Peguam, Mohamad Ezri Abdul Wahab bersama tujuh wakil yang lain.

Ezri menyifatkan perarakan itu sebagai satu kejayaan besar dalam usaha mempertahankan prinsip kebebasan badan kehakiman.

Beliau turut mengumumkan satu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) akan diadakan pada 26 Julai ini untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan.

Bagaimanapun Ezri menafikan pihaknya akan mengadakan satu lagi perarakan seumpamanya andainya tuntutan yang diserahkan itu tidak dipenuhi.

Peserta kelihatan bersemangat mengangkat sepanduk bertulis ‘All Eyes On The Judiciary’, Defend Judicial Independence,  ‘Bebaskan Kehakiman’, ‘Keadilan Untuk Kehakiman’ sambil dikawal lebih 100 anggota polis termasuk pasukan elit Op Cantas dan sebuah dron pemantau yang diterbangkan.

Sebahagian individu peguam dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman dari perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya ke Pejabat Perdana Menteri. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 JULAI 2025

Difahamkan sebagai tanda solidariti, Majlis Peguam Pulau Pinang turut menganjurkan perarakan serupa pada pukul 11 pagi tadi dengan penyertaan kira-kira 50 peguam dari Jalan Green Hall ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

Perarakan di Putrajaya berakhir dengan peserta kembali ke Istana Kehakiman di sini meninggalkan kawasan PMO yang dikawal selia oleh pihak berkuasa sepanjang program berlangsung secara aman.

Ketika rata-rata peserta sampai ke destinasi, kelihatan warga PMO sendiri tampil ‘belanja’ mereka aiskrim dan air mineral.

Enam tuntutan utama yang dibawa dalam memorandum tersebut ialah pendedahan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat campur tangan kehakiman, penyelesaian segera isu kekosongan jawatan kehakiman dan menjamin ketelusan dalam pelantikan ke jawatan tertinggi badan kehakiman. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Lebih 1,000 peguam sertai perarakan bela kebebasan kehakiman

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast