KUALA LUMPUR – Prof. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang kelima bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa hari ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini berkata, Mas Fawzi, 51, mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sistem Elektromekanikal dari University of Manchester Institute Science and Technology, United Kingdom pada 199, dan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Mekanikal (Penyelidikan) dari Universiti Teknologi Malaysia pada 2007.
Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar Hidupan dan Bumi di University of Tokoshima, Jepun pada 2009.
“Beliau memiliki pengalaman yang luas dalam tadbir urus universiti dan telah memegang pelbagai jawatan pentadbiran iaitu Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Siswazah; Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan; Pengarah Pejabat Perancangan Strategik dan Pengurusan Risiko; Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Perhubungan Korporat) dan yang terkini sebagai Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kualiti) UTHM,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, tambah kenyataan tersebut, Mas Fawzi juga mempunyai pengalaman berkhidmat di sektor industri sebagai Jurutera Kalibrasi di Samsung Electronics Display Sdn. Bhd. dan Jurutera Industri di Sharp-Roxy Electronics Sdn. Bhd. sebelum menyertai perkhidmatan awam pada 2004.
“Kementerian yakin gabungan pengalaman pentadbiran dan lapangan yang beliau miliki adalah merupakan aset berharga yang akan membantu beliau menerajui UTHM menjadi pusat ilmu yang dihormati, inovatif dan relevan dengan keperluan semasa,” katanya.
Sementara itu, menurut kenyataan tersebut, KPT turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada bekas Naib Canselor UTHM, Datuk Prof. Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim atas jasa dan bakti sepanjang menerajui UTHM sebelum ini. – MalaysiaGazette
















