Fadhlina Sidek

NIBONG TEBAL – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka memberikan taklimat berkaitan isu-isu semasa dan perkembangan dasar kerajaan dalam satu pertemuan bersama Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang dijadual berlangsung petang ini.

Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, pertemuan itu merupakan langkah awal bagi memperkukuh kesiapsiagaan blok kerajaan menjelang sidang Parlimen akan datang.

“Insya-Allah, saya percaya pertemuan petang ini adalah untuk memberi penjelasan tentang isu-isu semasa dan beberapa perkara penting berkaitan negara.

Fadhlina.

“Ia juga menjadi medan persiapan kita menghadapi sidang Parlimen yang bakal berlangsung tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Widuri di Sungai Bakap di sini hari ini bagi melihat keberkesanan Program Anak Kita.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, segala isu berbangkit akan diperincikan dalam pertemuan itu bagi memastikan kesediaan Ahli Parlimen PH dalam membawa suara kerajaan.

“Insya-Allah, semua isu berkenaan akan diperjelaskan pada petang ini sebagai persediaan rapi bagi sidang Parlimen yang semakin hampir,” katanya.

Difahamkan, pertemuan tersebut akan berlangsung di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya pada pukul 4.30 petang ini.

Sebelum ini, Anwar mengadakan pertemuan bersama semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Seri Perdana pada Jumaat lalu bagi menjelaskan beberapa dasar kerajaan serta memperkukuhkan kerjasama dalam kalangan wakil rakyat kerajaan perpaduan.

Antara isu yang disentuh dalam pertemuan itu termasuk berkaitan pelantikan Ketua Hakim Negara, pelaksanaan subsidi bersasar RON95 dan isu percukaian yang menjadi perhatian umum. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast