BAYAN LEPAS – Inisiatif pertanian di bawah Program Ekonomi MADANI dilihat berupaya membantu menjana pendapatan anggota tentera khususnya melalui penglibatan isteri mereka yang menganggotai Badan Kebajikan Angkatan Tentera (BAKAT).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelaksanaan program itu bukan sahaja memberi manfaat ekonomi kepada komuniti tentera malah menyumbang kepada keterjaminan makanan negara serta pembangunan industri hiliran.
Kerajaan telah memperuntukkan RM10 juta tahun ini kepada kem-kem tentera seluruh negara bagi menjayakan program berkenaan.
“Sedikit sebanyak program ini membantu mengisi masa lapang ahli BAKAT, lebih-lebih lagi apabila ramai suami mereka akan menyertai misi Malaysia Batalion (MALBAT) ke Lubnan tahun hadapan.

“Selain menambah pendapatan, para peserta juga mendapat pendedahan ilmu melalui kerjasama dengan institusi pengajian tinggi,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Kem Sungai Ara di sini hari ini.
Hadir sama Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Antara projek yang dilaksanakan di kem berkenaan ialah tanaman cendawan tiram dan ternakan madu kelulut yang dijalankan oleh komuniti 2 RAMD bersama BAKAT.
Projek madu kelulut itu merupakan kerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) yang menggunakan sistem log hive dan pendekatan bioteknologi dalam penternakan lebah secara sistematik.
Sementara itu, projek tanaman cendawan tiram dijalankan bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menggunakan rumah cendawan tertutup dengan kawalan suhu dan kelembapan bagi memastikan hasil tuaian yang berkualiti.
Mohamed Khaled berkata, projek berkenaan menunjukkan perkembangan positif, termasuk hasil madu yang sedia untuk dipasarkan, manakala cendawan sedang dalam rundingan untuk dipasarkan melalui Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA).
“Sisa bongkah cendawan juga dimanfaatkan sebagai baja organik menjadikan projek ini bersifat lestari dan mempunyai potensi besar untuk diperluas,” katanya. – MalaysiaGazette
















