KUALA LUMPUR – Projek menaiktaraf jambatan merentasi Sungai Marang di laluan FT003 Jalan Kuala Terengganu – Kuantan (FT003), Marang, Kuala Terengganu yang menelan kos RM338.0 juta dijangka siap pada sukuan kedua tahun 2027.
Kementerian Kerja Raya (KKR) berkata, sehingga 30 Jun 2025, projek yang dimulakan pada 9 Disember 2021 telah mencapai kemajuan fizikal 54.70%.
Pembinaan yang melibatkan jajaran sepanjang 2.5 kilometer merangkumi pembinaan jambatan Sungai Marang iaitu sepanjang 220m dan jejambat merentasi Bandar Marang sepanjang 680 meter serta 1.5 kilometer naik taraf jalan sedia ada.
Pembinaan ini melibatkan naik taraf jalan kepada empat lorong dua hala.
Pelaksanaan projek ini turut mengadaptasi metodologi Building Information Modelling (BIM) dalam kitar hayat pelaksanaan projek.
“Apabila siap kelak, jambatan baharu ini akan memberi manfaat besar kepada penduduk setempat dan pengguna jalan raya dengan keupayaan empat lorong dua hala yang lebih efisien, selamat dan selesa.
“Di samping menyuraikan masalah kesesakan jalan raya terutama ketika waktu puncak dan perayaan, laluan baharu ini juga dapat menjimatkan masa yang ketara kelak,” katanya.
KKR menambah, pembinaan jambatan baharu ini juga direka bentuk bagi membolehkan kapal nelayan Zon C menyusuri lebih ke hulu dan tidak lagi tersekat oleh ketinggian jambatan sedia ada yang telah berusia lebih 55 tahun. – MalaysiaGazette















