Cubaan menyeludup masuk lebih sejuta batang rokok ke pasaran tempatan gagal apabila sindiket berkenaan berjaya ditumpaskan menerusi serbuan Op Taring Alpha 1 di kawasan kuari Mukim Jerus, Bukit Jawa, Pasir Puteh, Jumaat lalu. Ihsan Foto : PGA

KUALA LUMPUR – Cubaan menyeludup masuk lebih sejuta batang rokok ke pasaran tempatan gagal apabila sindiket berkenaan berjaya ditumpaskan menerusi serbuan Op Taring Alpha 1 di kawasan kuari Mukim Jerus, Bukit Jawa, Pasir Puteh, Kelantyan baru-baru ini.

Serbuan yang dijalankan kira-kira pukul 6.30 pagi itu membawa kepada rampasan sebanyak 1.15 juta batang rokok putih jenama ‘John JDB’ dan ‘SAAT’ yang dipercayai diseludup.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, rokok-rokok terbabit ditemukan di dalam sebuah kenderaan dan kontena di lokasi kejadian.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dan kontena dianggarkan berjumlah RM2.215 juta,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, seorang lelaki warga Indonesia turut ditahan selepas ditemukan bersembunyi di dalam sebuah kabin berhampiran lokasi serbuan.

“Siasatan mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” ujarnya.

Kesemua rampasan bersama suspek telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast