Gambar hiasan: Tren elektrik (ETS) mengambil penumpang di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Taiping. Foto ABDULLAH YUSOF, 12 JANUARI 2024.

BATU CAVES – Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) tidak akan diperluaskan ke Pantai Timur dalam masa terdekat kerana kawasan itu masih belum mempunyai kemudahan infrastruktur landasan sesuai untuk operasi tren elektrik.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, buat masa ini tiada pelan untuk membawa ETS ke sana kerana laluan kereta api di wilayah tersebut masih menggunakan landasan tunggal tanpa elektrifikasi yang berbeza dengan laluan ETS sedia ada di Pantai Barat.

“Tidak ada pelan sebegini lagi sebab East Coast belum ada landasan elektrik. Laluan KTMB di Pantai Timur hanya single track dan tidak electrified.

“Jadi, buat masa ini penggunaan GMU (diesel multiple unit) adalah penyelesaian yang digunakan bagi perkhidmatan di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pelancaran bas baharu Rapid Bus di Kompleks Rapid Bus Batu Caves hari ini.

Menurut Anthony, keperluan pengangkutan awam di kawasan Pantai Timur akan lebih tertumpu kepada sistem Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal menghubungkan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang sehingga ke Selangor apabila projek itu siap kelak.

“East Coast akan ada ECRL, jadi ECRL itu akan lebih menyeluruh dari segi rangkaian dan kepentingan perkhidmatan. Jadi jawapannya, ETS akan kekal beroperasi di Pantai Barat dari Padang Besar hingga ke Johor Bahru,” tambahnya.

Mengulas keberkesanan dan cabaran operasi KTMB ketika ini, Anthony berkata, perkhidmatan tren masih belum mencapai tahap keuntungan penuh.

Namun itu bukan fokus utama kerana KTMB berfungsi sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang memikul tanggungjawab sosial.

“KTMB adalah syarikat yang diberi sokongan kerajaan menerusi gap funding. Memang kita belum capai break-even point, tetapi itu bukan persoalannya. Yang penting ialah memastikan operasi KTMB terus dipertingkatkan, terutama dalam perkhidmatan komuter, ETS dan juga kargo,” katanya.

Beliau turut menjelaskan KTMB memperoleh keuntungan melalui operasi kargo yang digunakan untuk menampung kerugian dari segmen perkhidmatan penumpang seperti komuter.

“Perkhidmatan komuter memang rugi, tetapi bahagian kargo memberi manfaat. Kita imbangkan antara keduanya.

“Kita harap dari masa ke masa, KTMB akan jadi lebih cekap dan akhirnya berdaya saing dari segi kewangan. Tetapi sekarang, yang utama ialah perkhidmatan kepada rakyat diteruskan dan ditambah baik,” tambahnya.

Anthony turut menegaskan kerajaan komited untuk terus menyokong pengoperasian KTMB tanpa membebankan pengguna dengan kenaikan tambang yang mendadak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast