Mohamed Sukri Omar

KUALA LUMPUR – Gesa kerajaan melalui Wisma Putra agar mengambil pendirian tegas dan jelas untuk menolak pelantikan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia.

Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, Nick Adams bukan sekadar tokoh kontroversi tetapi juga individu yang secara terbuka menyebar kebencian terhadap Islam dan menyokong rejim penjajah Zionis secara melulu.

“Beliau (Nick Adams) pernah dengan bangganya mendedahkan bahawa beliau telah menekan sebuah restoran di AS untuk memecat seorang pelayan wanita hanya kerana memakai pin Free Palestine.

Menurut Sukri, sebagai sebuah negara majoriti umat Islam yang menjunjung prinsip keadilan dan solidariti terhadap rakyat tertindas, Malaysia tidak boleh menerima pelantikan seorang individu yang secara terbuka menindas mereka yang menyokong Palestin dan mencemuh mana-mana bentuk sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin.

“Ia merupakan penghinaan terbuka terhadap sensitiviti rakyat Malaysia. Sekiranya kerajaan berdiam diri atau menerima pelantikan ini, ia akan dilihat sebagai penghinaan terbuka terhadap sensitiviti umat Islam dan rakyat Malaysia yang tegas menyokong perjuangan Palestin.

“Ini bukan sekadar isu diplomatik tetapi soal prinsip, maruah dan pendirian negara terhadap isu kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan.

Malaysia, menurut Sukri, mempunyai hak mutlak di bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik untuk menolak mana-mana calon duta yang dianggap tidak sesuai atau membahayakan keharmonian domestik.

Tindakan tegas perlu diambil untuk mempertahankan imej dan pendirian Malaysia dalam isu Palestin serta menolak sebarang cubaan menyebarkan fahaman ekstrem pro-Zionis di tanah air ini.

Pemuda Pas Selangor berdiri teguh bersama rakyat Malaysia yang menolak sebarang unsur Islamofobia, kezaliman dan ketidakadilan.

Pelantikan Nick Adams sebagai Duta AS ke Malaysia adalah satu bentuk provokasi terhadap pendirian bersejarah negara dalam isu Palestin.

“Kami mendesak Kerajaan Malaysia menggunakan kuasa yang ada untuk menolak pencalonan Nick Adams serta memberi mesej jelas kepada dunia bahawa Malaysia tidak akan sesekali membiarkan bumi ini menjadi pentas normalisasi kezaliman Zionis atau medan eksperimen pelampau Islamofobia.

“Malaysia bukan medan eksperimen duta Pro Zionis. Tolak Nick Adams. Pertahan maruah negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast