Wan Ji Wan Hussin
Wan Ji Wan Hussin

SEBERANG JAYA – Ceramah agama oleh penceramah bebas, Dr Wan Ji Wan Hussin yang dijadualkan berlangsung di Masjid Sembilang pada malam Ahad, dilaporkan dibatalkan pada saat akhir dipercayai berkait isu tauliah.

Program anjuran Biro Penerangan dan Penerangan Agama (BIPPA) bersama Masjid Sembilang itu dijadualkan diadakan sejurus selepas solat Maghrib dengan tajuk kuliah menyentuh mengenai konflik pemerintahan Khalifah Uthman Affan.

Menerusi hantaran di laman Facebook miliknya, Wan Ji memaklumkan beliau diberitahu oleh pihak penganjur bahawa kuliah tersebut tidak dapat diteruskan selepas didakwa menerima arahan daripada Pejabat Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang.

“Kuliah Maghrib malam ini di Masjid Taman Sembilang terpaksa dibatalkan. Saya dimaklumkan oleh pihak penganjur bahawa program dihalang oleh Pejabat Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid,” tulis beliau.

Namun begitu, dakwaan tersebut dinafikan oleh Dr Mohamad yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang.

Menurut beliau, semua hal berkaitan penceramah agama adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) serta pentadbiran masjid masing-masing.

“Tidak benar dakwaan mengatakan ceramah Ustaz Wan Ji dihalang atas arahan Pejabat TKM1.

“JHEAIPP telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini. Sebarang urusan berkaitan penceramah adalah dalam tanggungjawab JHEAIPP dan pengurusan masjid,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast