KUALA LUMPUR – Memandangkan Nurul Izzah Anwar turut menyertai Walk to Safeguard Judicial Independence, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu diharapkan dapat menyampaikan mesej penting kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perjumpaan bersama ahli Parlimen kerajaan petang ini.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perarakan itu juga memberi gambaran jelas sokongan kepada kebebasan institusi kehakiman adalah merentas parti dan merentas ideologi.
Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan perarakan Walk to Safeguard Judicial Independence yang dianjurkan oleh Badan Peguam Malaysia itu berjaya membuktikan betapa besarnya sokongan rakyat kepada agenda kebebasan institusi kehakiman.
“Kerajaan jangan ambil mudah suara rakyat ini. Pelbagai isu, termasuklah minit JAC yang bocor, boleh menyebabkan keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman merudum,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, lebih 1,000 orang termasuk peguam dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyertai perarakan yang bermula pukul 12.30 tengah hari tadi di Istana Kehakiman menuju ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
Perarakan sejauh 2.6 kilometer itu berakhir kira-kira 2.30 petang dengan penyerahan memorandum mengandungi empat tuntutan kepada Pejabat Perdana Menteri.
Perhimpunan itu bagi menuntut beberapa perkara termasuk isu membabitkan jawatan tertinggi kehakiman; pendedahan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC); membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat campur tangan kehakiman dan menangani kekosongan keseluruhan kehakiman.
Sementara itu, Anwar petang ini dijadual mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) di Seri Perdana, bertujuan memberikan taklimat berkaitan isu-isu semasa dan perkembangan dasar kerajaan.
Jumaat lalu, Anwar turut mengadakan pertemuan bersama semua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bagi menjelaskan beberapa dasar kerajaan serta memperkukuhkan kerjasama dalam kalangan wakil rakyat kerajaan perpaduan. – MalaysiaGazette
















