KUALA LUMPUR – Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai sebuah negara maritim utama meskipun berdepan cabaran ketidaktentuan global pada masa kini.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, sektor maritim bukan sahaja memainkan peranan penting dalam struktur ekonomi negara sebaliknya menjadi pemacu kepada daya saing Malaysia dalam perdagangan antarabangsa dan kelestarian alam sekitar.
Menurut beliau, lebih 96.4 peratus perdagangan Malaysia diangkut melalui laut menjadikan pelabuhan dan logistik maritim sebagai nadi kepada ekonomi negara.
“Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) terus memainkan peranan penting dan konsisten berada dalam senarai pelabuhan paling sibuk di dunia.
“Malaysia mencatat prestasi perdagangan tertinggi dalam sejarah pada tahun 2024 dengan jumlah dagangan mencecah RM2.879 trilion, satu petunjuk bahawa kecekapan sistem maritim memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi,” ucapnya pada majlis perasmian Minggu Maritim Malaysia 2025 di sini hari ini.

Sempena Hari Maritim Sedunia 2025, Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) telah menetapkan tema ‘Laut Kita, Kewajiban Kita, Peluang Kita’ yang menekankan kepentingan laut dalam sistem ekonomi dunia.
Dalam ucapannya, Anthony turut menekankan arus dagangan global kini semakin dipengaruhi oleh turun naik nilai mata wang, perubahan dasar perdagangan serta ketegangan geopolitik.
“Fokus pasaran kini beralih kepada mata wang di mana kekuatan atau kelemahan nilai tukar memberi kesan langsung kepada kos penghantaran, laluan perdagangan dan daya saing sektor maritim.
“Tetapi Malaysia masih berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai hab logistik dan pelabuhan bertaraf antarabangsa, kita bukan hanya saluran dagangan sebaliknya sumber rezeki kepada komuniti pesisir serta sektor pelancongan tetapi juga tenaga boleh diperbaharui dan bioteknologi,” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan kini giat membangunkan Pelan Perancangan Ruang Lautan (MSP) untuk menyokong pelaksanaan Strategi Ekonomi Biru yang akan memastikan sumber laut diurus secara mampan.
“Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri, MSP boleh menjadikan dasar maritim kita lebih jelas dan mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan komitmen Malaysia untuk menyokong matlamat sifar pelepasan gas rumah hijau (GHG) menjelang 2050 selari dengan sasaran IMO melalui penggunaan bahan api alternatif seperti LNG, hidrogen, etanol dan metanol dalam sektor perkapalan.
Anthony juga mendedahkan dalam ucapannya, dalam konteks imbangan pembayaran (BOP) negara sudah mencatat defisit sebanyak RM9.3 bilion pada suku pertama 2025 meningkat daripada RM8.0 bilion suku sebelumnya.
“Ini berpunca daripada pergantungan kita yang tinggi terhadap kapal asing untuk membawa perdagangan negara.
“Kita ialah negara dagang utama dengan pelabuhan bertaraf dunia namun masih bergantung kepada armada luar. Untuk tangani isu ini, kerajaan kini memberi tumpuan kepada pembangunan semula industri perkapalan domestik melalui Pelan Induk Maritim Malaysia 2026–2040 yang sedang dirangka.
“Fokus utama adalah mengurangkan kebergantungan terhadap kapal asing memodenkan armada tempatan menjadikan sektor ini lebih digital, rendah karbon dan strategik,” tambahnya.
Anthony turut mengumumkan bahawa Malaysia sekali lagi mencalonkan diri bagi pemilihan semula ke Majlis IMO sebuah kedudukan yang dipegang negara sejak 2005. – MalaysiaGazette















