Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bercakap ketika ditemui wartawan selepas hadir ke Persidangan Antarabangsa mengenai Tadbir Urus dan Integriti Malaysia 2025 di Bora Ombak Marina, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 15 JULAI 2025 (GA MBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Kerajaan akan meneliti semula Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 sebelum penambahbaikan dilakukan bagi mengelak kekeliruan dalam proses pelantikan hakim di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman berkata, sejak JAC dikuatkuasakan pada 2009, kekeliruan itu tidak pernah timbul dalam prosedur pelantikan hakim.

“Sejak itu (diguna pakai) dalam pelantikan lima Ketua Hakim Negara, tak pernah timbul isu, malangnya kini ia menjadi isu. Jadi kita kena kaji secara mendalam.

“Kita perlu melakukan penambahbaikan, sebab sekarang ini wujud banyak kekeliruan dan tiada kejelasan dari perspektif awam,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Antarabangsa Tadbir Urus dan Integriti Malaysia 2025, di sini, hari ini.

Semalam, Majlis Peguam Malaysia melahirkan kebimbangan dan menuntut kebebasan diberikan kepada badan kehakiman serta menuntut pelantikan ketua hakim negara dibuat dengan lebih telus dan bertanggungjawab tanpa campur tangan pihak tertentu.

Kebimbangan itu juga disuarakan lebih 1,600 peguam yang berhimpun di luar pekarangan Istana Kehakiman dan kemudian berarak ke pejabat Perdana Menteri dengan berjalan kaki sejauh 2.6 kilometer, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, penambahbaikan itu dilihat wajar bagi mengenal pasti punca kekeliruan dalam proses pelantikan hakim.

“Di mana puncanya kekeliruan atau ketidakjelasan ini? Adakah ia berpunca daripada prosesnya atau daripada istilah yang digunakan, contohnya nama Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman itu sendiri?

“Mungkin perkataan ‘pelantikan’ itu menimbulkan persepsi tertentu, saya pun tak pasti. Jadi kita perlu buat kajian,” katanya.

Kata beliau, pihaknya juga akan mengumpulkan pandangan daripada pakar supaya perbincangan menyeluruh dapat dilaksanakan.

“Perbincangan menyeluruh akan dilakukan. Saya juga sudah menjemput Majlis Peguam untuk terbabit pada peringkat awal, bagi memberi perspektif dan pandangan yang seimbang.

“Selepas itu, saya akan bawa perkara ini ke mesyuarat Kabinet untuk diputuskan arah mana yang akan kita ambil,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast