Keadaan Perairan Teluk Nipah yang dicemari sisa lumpur akibat hakisan tanah dari bukit berhampiran.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Kedah, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa bertindak segera mengatasi masalah hakisan tanah yang semakin serius di Kampung Teluk Nipah, Kuala Muda.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, hakisan itu dipercayai berpunca daripada aktiviti penambakan dan penerokaan bukit yang berlarutan sejak empat tahun lalu namun masih belum ditangani.

Menurut beliau, tinjauan CAP mendapati air laut di kawasan berkenaan berubah warna menjadi merah berlumpur dipercayai akibat mendapan tanah dari kawasan tebing bukit yang terjejas.

“Masalah ini memberi kesan kepada lebih 100 nelayan pantai yang bergantung kepada hasil laut sebagai sumber rezeki.

“Keadaan bertambah buruk setiap kali hujan lebat atau ombak besar melanda kawasan pantai berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohideen turut memberi amaran bahawa jika tiada tindakan diambil, risiko runtuhan cerun dan pencemaran laut akan menjadi lebih parah sehingga menjejaskan ekosistem serta kehidupan komuniti nelayan.

“Lumpur yang mengalir ke laut boleh memusnahkan habitat hidupan seperti udang, ikan, ketam dan siput, sekali gus mengancam sumber pendapatan nelayan.

“Selain itu, mendapan lumpur juga boleh menyebabkan kawasan jeti menjadi cetek dan menyukarkan bot untuk berlabuh.

“Sehubungan itu, kita mencadangkan supaya siasatan segera dilakukan dan benteng penahan hakisan dibina untuk mengelak pencemaran berterusan di kawasan terbabit,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast