NEW DELHI – Fauja Singh dari India, dipercayai pelari jarak jauh tertua di dunia, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada usia 114 tahun, kata penulis biografinya.
Singh, seorang warga Britain kelahiran India, yang digelar “Turbaned Tornado”, maut selepas dilanggar sebuah kenderaan di daerah Jalandhar, negeri Punjab pada hari Isnin.
“Turbaned Tornado saya tiada lagi. Dia dilanggar oleh kenderaan yang tidak dikenali… di kampungnya, Bias, semasa melintas jalan. Rehatlah wahai Fauja sayang,” tulis penulis biografi Fauja Khushwant Singh di X.
Singh tidak mempunyai sijil kelahiran tetapi keluarganya berkata, dia dilahirkan pada 1 April 1911.
Dia berlari maraton penuh (42 kilometer) sehingga umur 100 tahun.
Perlumbaan terakhirnya ialah acara 10 kilometer pada Marathon Hong Kong 2013 dan dia menamatkan perlumbaan dalam masa satu jam, 32 minit dan 28 saat.
Dia menjadi sensasi antarabangsa selepas melakukan larian jarak jauh pada usia tua 89 tahun, selepas kematian isterinya.
Beliau diinspirasi untuk berlari selepas salah seorang anak lelakinya menonton maraton di televisyen.
Walaupun secara meluas dianggap sebagai pelari maraton tertua di dunia, namun kedudukan itu tidak disahkan oleh Guinness World Records kerana dia tidak dapat membuktikan umurnya.
Singh memberitahu, sijil kelahiran tidak wujud semasa dia dilahirkan di bawah pemerintahan kolonial British pada 2011.
Beliau adalah pembawa obor untuk Sukan Olimpik di Athens 2004 dan London 2012, dan muncul dalam iklan dengan bintang sukan seperti David Beckham dan Muhammad Ali.
Dia sentiasa cergas kerana rutin berjalan-jalan di ladang dan diet termasuk “laddu” manis India yang penuh dengan buah-buahan kering dan dadih buatan sendiri. – Agensi
















