KUALA LUMPUR – Pengasas motivasi rumah tangga, eHATI International Sdn Bhd (eHATI), Diyana Tahir dan Rahim Shukor akan direman esok pagi di Mahkamah Majistret Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim yang mengesahkan perkara itu berkata, beberapa individu lain turut direman bagi membantu siasatan.
“Esok pasangan pengasas motivasi itu dan beberapa individu akan dibawa ke Majistret Shah Alam untuk permohonan reman.
“Bagaimanapun beberapa tindakan masih belum selesai,“ katanya secara ringkas dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, perkembangan semasa berhubung siasatan kes terbabit akan dimaklumkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam sidang media esok.
Pengasas motivasi rumah tangga, eHati telah ditahan polis hari ini selepas memberikan kenyataan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Sementara itu, peguam mewakili pasangan terbabit Datuk M Reza Hassan memaklumkan, mereka disiasat mengikut Seksyen 294 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil.
Sebelum ini, polis menerima laporan berkaitan program motivasi rumah tangga yang didakwa songsang dan terpesong di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam, Selangor pada September lalu.
Mohd Iqbal sebelum ini berkata, laporan itu dibuat seorang ejen insurans berusia 39 tahun yang merupakan suami kepada salah seorang peserta program tersebut.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, satu siasatan terperinci akan dijalankan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mendapatkan maklumat yang jelas dan sahih sebelum sebarang tindakan diambil. – MalaysiaGazette
















