Sebahagian individu peguam dan ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman dari perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya ke Pejabat Perdana Menteri. Foto MUHAIMIN MARWAN, 14 JULAI 2025. (Gambar fail).

KUALA LUMPUR –  Perarakan aman anjuran Majlis Peguam Malaysia semalam disifatkan simbol kematangan demokrasi dan kemajuan rakyat menuntut keadilan secara tertib dan berprinsip.

Setiausaha Wanita Keadilan, Sangetha Jayakumar berkata, kehadiran ratusan peguam berarak dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya juga bukan sahaja menzahirkan solidariti terhadap prinsip pemisahan kuasa tetapi menggambarkan Malaysia yang semakin terbuka dan matang dalam amalan demokrasi.

“Perarakan ini adalah manifestasi Malaysia yang semakin matang di mana rakyat bersuara dengan berani tetapi dalam ruang yang aman dan penuh hormat.

“Inilah wajah sebenar kemajuan demokrasi rakyat,” katanya dalam kenyataan media.

Sangetha Jayakumar

Sangetha menekankan hak berhimpun secara aman seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan perlu terus dihormati dan dilindungi.

Selain itu, beliau turut mengalu-alukan kehadiran Timbalan Presiden Keadilan, Nurul Izzah Anwar yang turut serta dalam perarakan sebagai tanda sokongan terhadap usaha masyarakat sivil memperjuangkan kebebasan institusi kehakiman.

“Kehadiran tokoh seperti Nurul Izzah menunjukkan pemimpin reformasi berdiri seiring dengan suara rakyat. Ia mengangkat nilai solidariti dan kebertanggungjawaban dalam proses demokrasi kita.

“Kita tidak perlu bersetuju dengan semua tuntutan tetapi kita wajib mempertahankan hak rakyat untuk menyuarakan kebimbangan mereka secara aman dan bertanggungjawab.

“Ini bukan soal menang atau kalah. Ini soal ruang untuk bersuara, berhujah, dan berbeza secara sihat. Setiap langkah dalam perarakan membawa kita lebih hampir ke arah Malaysia yang lebih adil, inklusif dan demokratik,” tegasnya.

Majlis Peguam semalam menganjurkan perarakan Walk for Judicial Independence berhadapan di Istana Kehakiman di Putrajaya dengan menghantar memorandum enam tuntutan kepada Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO) petang semalam.

Enam tuntutan utama yang dibawa dalam memorandum tersebut ialah pendedahan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat campur tangan kehakiman, penyelesaian segera isu kekosongan jawatan kehakiman dan menjamin ketelusan dalam pelantikan ke jawatan tertinggi badan kehakiman. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast