KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan polis susulan kes ugutan terhadap pasangan yang merupakan pengusaha ejen pelancongan di sebuah restoran di Dengkil, Sepang, Selangor.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, tangkapan ke atas suspek telah dibuat sekitar jam 5 petang tadi susulan laporan daripada suami isteri itu.
Menurutnya, suspek berusia 36 tahun akan dibawa ke Mahkamah Majistrest Sepang untuk mendapatkan permohonan reman.
Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan keputusan serta arahan lanjut.
“Semakan awal mendapati, suspek adalah kenalan mangsa dari syarikat ejen pelancongan yang berlainan dan motif kejadian dipercayai kerana tidak berpuas hati berkenaan pengurusan membawa pelancong ke Jepun.
“Insiden itu berlaku pada 22 Julai 2024 dan laporan dibuat oleh pasangan terbabit selepas pulang dari Jepun iaitu 22 Januari lalu,” jelasnya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan supaya tidak berkongsi maklumat yang tidak benar hingga mengelirukan orang ramai berhubung kejadian tersebut. – MalaysiaGazette
















