KLUANG – Sungai Bahai di sini kembali tercemar dipercayai hasil sisa air buangan sehingga airnya menjadi hitam dan berbau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang, R Vidyananthan berkata, kejadian di Sungai Bahai itu merupakan anak sungai rangkaian kepada Sungai Kahang disedari penduduk pada pagi tadi.
“Air sungai itu bukan sahaja bertukar menjadi hitam dan berbau tetapi berminyak yang mungkin boleh menyebabkan hidupan dalam sungai tersebut seperti ikan dan udang galah akan mati.
“Saya telah melaporkan kejadian ini kepada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor untuk tindakan lanjut dan pihak berkenaan berjanji akan melakukan siasatan segera,” katanya ketika dihubungi.
Beliau kesal kerana keadaan itu sering berlaku walaupun pelbagai tindakan telah dikenakan kepada pihak-pihak yang didapati bersalah melakukan pencemaran air sungai di Kahang.
Vidyananthan berkata, kejadian itu yang diadukan penduduk kepadanya bukan pertama kali berlaku berlaku kerana pernah tercemar sebelum ini.
Beliau hairan kerana pelbagai tindakan sudah dikenakan terhadap pihak yang melakukannya sebelum ini sebagai pengajaran tetapi masih lagi berlaku.- MalaysiaGazette















