KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga asing cedera selepas dikelar menggunakan pisau di bahagian leher kiri dalam kejadian di sebuah university di Subang Jaya, Selangor petang tadi.
Mangsa yang berusia 20 tahun dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya dan kini ditempatkan di zon merah tetapi dalam keadaan stabil.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan seorang lelaki mencederakan mangsa pada jam 6.30 petang tadi.
Menurutnya, suspek yang berumur 21 tahun dikatakan bekas teman lelaki mangsa telah ditahan polis sejurus kejadian dan akan direman pagi esok.
Punca kejadian masih disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan cedera dengan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 ahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman-hukuman tersebut.
Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Fadizah Ajamin di talian 019-8582166. – MalaysiaGazette
















