KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat pertama kalinya hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock.
SPRM juga bersedia memberi sumbangan ihsan kepada keluarga mendiang dalam jumlah yang akan ditentukan kelak bagi tujuan kebajikan dan perbelanjaan pendidikan anak mendiang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, walaupun siasatan terkini tidak menemui bukti yang mencukupi untuk membuktikan apa jua kesalahan terhadap mana-mana individu di bawah undang-undang, SPRM tetap memandang serius Beng Hock ditemui meninggal dunia di premis SPRM Selangor pada 16 Julai 2009.
“Ia merupakan satu insiden hitam yang telah memberi kesan besar bukan sahaja kepada waris mendiang tetapi juga kepada seluruh warga SPRM dan negara.
“Atas dasar keprihatinan, saya selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM, ingin menzahirkan perasaan simpati dan memohon maaf kepada keluarga mendiang atas penderitaan yang telah ditanggung sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.
Katanya, SPRM mengiktiraf keputusan daripada pelbagai siasatan yang telah dijalankan berhubung kes kematian Beng Hock sepanjang 16 tahun lalu termasuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada tahun 2011, keputusan Mahkamah Rayuan pada 2014 serta siasatan terkini oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara.
Azam berkata, sejak kejadian tersebut, SPRM komited untuk memperbaiki kelemahan lalu dan berusaha membina semula kepercayaan rakyat. SPRM telah mengambil pelbagai langkah penambahbaikan untuk memastikan kebajikan individu yang hadir membantu siasatan sentiasa terpelihara.
Antara Langkah penambahbaikan yang telah dilaksanakan salah mewujudkan Bilik Rakaman Bervideo (VIR) untuk merekod pernyataan saksi, orang kena tangkap dan/ atau suspek; bilik temu bual saksi di aras Bawah bagi memastikan akses lebih mudah dan pemantauan yang lebih telus; CCTV telah dipertingkatkan dengan ciri berteknologi tinggi, kuantiti ditambah dan ditempatkan di lokasi strategik bagi mengawas dan merekod pergerakan serta perlakuan setiap orang yang memasuki premis SPRM.
Selain itu, Kompleks Bangunan SPRM dilengkapi pemasangan jeriji besi selaras dengan garis panduan pihak berkuasa; penggunaan Body Worn Camera (BWC) dalam setiap operasi siasatan bagi merakam aktiviti operasi dan memastikan integriti Pegawai Siasatan terjaga; menggunakan teknik soal siasat model PEACE (Planning, Engage, Account, Closure, Evaluation) yang dipraktik di United Kingdom. Teknik yang menekan aspek keberhasilan dan keselamatan telah diperkenal dan diadaptasi sebagai MACC PEACE.
Pada pada 12 Mei 2015, kerajaan telah membayar pampasan sebanyak RM600,000 kepada keluarga mendiang serta tambahan RM60,000 bagi menampung kos guaman sebagai penyelesaian penuh dan muktamad di bawah Seksyen 7 & 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956.
Tegas beliau, SPRM kekal komited untuk menegakkan integriti dan ketelusan dalam setiap aspek tugasan serta memperkukuh usaha penambahbaikan institusi secara berterusan.
Beng Hock ditemukan meninggal dunia pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM di tingkat 14 bangunan sama.
Mendiang adalah Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah yang ketika itu merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.
Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Beng Hock pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga dalam kematiannya.
Manakala pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian mendiang memutuskan bahawa kematiannya akibat membunuh diri.
Pada 5 Sept 2014, Mahkamah Rayuah menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Teoh dan memutuskan bahawa kematiannya akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali. – MalaysiaGazette
















