Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang kerani berusia 56 tahun terpaksa berputih mata setelah wang simpanannya berjumlah RM126,500 lesap selepas diperdaya sindiket penipuan atas talian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Adli Mat Daut berkata, lelaki itu pada mulanya telah menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pihak insurans pada November 2024.

Katanya, mangsa diberitahu terdapat individu lain yang menggunakan namanya untuk membuat tuntutan insurans palsu.

“Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu yang menyamar sebagai Pegawai Polis dan pihak Pendakwa Raya di mana mangsa dimaklumkan perlu membuat bayaran jaminan sebanyak RM68,000 untuk menyelesaikan kes tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Berikutan panik, katanya mangsa telah membuat tiga transaksi berasingan ke dalam tiga akaun bank berbeza menggunakan mesin Deposit Tunai (CDM) bermula 5 Disember 2024 sehingga 1 Jun 2025 membabitkan jumlah keseluruhan RM126,500

Mohd Adli berkata, mangsa bagaimanapun menyedari dirinya ditipu selepas gagal menghubungi semula pihak yang berkenaan, lalu membuat laporan polis.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan mengingatkan orang ramai agar tidak panik apabila menerima panggilan daripada individu tidak dikenali, terutamanya yang mendakwa dari agensi penguat kuasa atau institusi kewangan,” katanya.

Justeru, beliau menasihati masyarakat agar membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

Selain itu, katanya, IPD Kuantan juga telah membangunkan platform digital berasaskan Kecerdasan buatan (AI) yang menghimpunkan chatbot AI (GPT) yang memfokus kepada pelbagai jenis jenayah untuk tujuan pencegahan awal dalam komuniti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast