Lima nelayan tempatan ditahan pihak maritim kerana menangkap ikan di kawasan larangan di Pulau Tinggi, Mersing semalam.

MERSING – Agensi Penguatkuasaan Maritim Zon Mersing menahan lima nelayan tempatan kerana menangkap ikan di kawasan larangan 4.5 batu nautika tenggara Pulau Tinggi di sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, semua kru tempatan itu ditahan dalam satu bot hasil rondaan pihak maritim dalam Op Jaksa dan Op Tiris 3.0.

“Bot terbabit bukan sahaja melanggar peraturan zon penangkapan, malah beroperasi di luar waktu yang dibenarkan.

“Ini termasuk dikendalikan bukan pemilik asal menjadikan satu pelanggaran jelas di bawah Akta Perikanan 1985.

“Bot berkenaan dikesan menunda ikan di bawah lima batu nautika dari daratan, selain dipercayai dikendalikan oleh pihak ketiga,” katanya dalam kenyataan.

Karanya, semua lima kru lelaki berusia 34 hingga 50 tahun itu ditahan manakala bot dan peralatan perikanan diiring ke Pos Maritim Teluk Gading untuk siasatan lanjut.

“Kami akan terus meningkatkan rondaan dan pemantauan di laut, agar tiada pihak sewenang-wenangnya melanggar undang-undang yang termaktub di negara ini,” tegas Suhaizan.

Beliau turut mengingatkan komuniti nelayan agar tidak bersekongkol dalam aktiviti melanggar undang-undang.

Jelasnya, ini termasuk menyalurkan maklumat sekiranya berlaku kegiatan yang mencurigakan di laut.

Sebarang maklumat boleh dilaporkan melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Mersing 07-219 9404 untuk tindakan segera.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast