Saifuddin Nasution Ismail

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara rasmi mengambil alih peranan menerajui Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) berkuat kuasa serta-merta.

Ia merupakan langkah strategik memperkukuh respons terhadap jenayah penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan tersebut dibuat selepas cadangan berkenaan dibentangkan dan dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dua minggu lalu.

“Sebelum ini, tiada agensi tunggal yang mengambil peranan menerajui secara jelas dalam NSRC, meskipun ia membabitkan kerjasama pelbagai pihak seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

“Namun, selepas dibentangkan kepada Perdana Menteri dua minggu lalu, PDRM khususnya Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) bersetuju untuk mengambil alih teraju pusat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri, hari ini.

Jelasnya, polis akan mengendalikan operasi NSRC sepenuhnya, termasuk talian 997 yang beroperasi 24 jam sehari selain mengekalkan  saluran utama berbanding sistem panggilan yang dikendalikan ejen dilantik BNM sebelum ini.

“Usaha ini turut membabitkan perancangan pengisian 139 jawatan baharu di NSRC, selain pemindahan pusat operasi daripada Bank Negara ke lokasi baharu yang akan ditentukan.

“Penyelarasan pengisian jawatan dan keperluan logistik kini sedang diuruskan antara KSU (Ketua Setiausaha) KDN dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, usaha terbabit bukan hanya membabitkan aspek respons, tetapi juga penelitian semula terhadap peraturan semasa serta peranan institusi perbankan dalam mempercepat tindakan membekukan akaun serta memulangkan dana kepada mangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast