MUAR – Polis sudah merakam keterangan isteri dan adik Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang dilaporkan hilang di Sungai Tui, Bukit Kepong, Pagoh kelmarin bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kedua-duanya diambil keterangan pada malam tadi bertujuan melengkapkan siasatan.
“Adik mangsa merupakan individu terakhir yang berjumpa dengan orang hilang pada kira-kira pukul 3.30 petang pada hari kejadian di kawasan Bukit Kepong.
“Mereka berkonvoi dari Johor Bahru ke Muar sebelum berjumpa sebentar di Bukit Kepong lalu beredar ke destinasi masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Tui hari ini.
Beliau berkata, kehilangan Tengku Nizaruddin hanya disedari selepas polis dimaklumkan mengenai penemuan sebuah kereta putih yang separa timbul di Sungai Tui pada petang semalam.
“Pasukan bomba dan penyelamat yang tiba di lokasi kemudiannya telah menjalankan selaman awal, namun tiada mangsa ditemui di dalam kenderaan. Kereta berjaya dinaikkan pada pukul lebih 7.30 malam tadi.
“Hasil pemeriksaan hanya menemui sepasang selipar dan topi dipercayai milik mangsa manakala telefon bimbitnya masih belum dijumpai,” ujarnya.
Menurutnya, rekod panggilan juga menunjukkan talian telefon mangsa sudah tidak aktif sejak hari mangsa hilang.
Menurut Raiz Mukhliz, operasi mencari dan menyelamat SAR diteruskan hari ini pada melibatkan 30 anggota polis, 30 anggota bomba, unit anjing pengesan K9 dan dron.
Katanya, kawasan pencarian sehingga radius dua kilometer meliputi kawasan sungai dan kampung sekitar.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai orang hilang. Buat masa ini, segala bentuk siasatan masih dijalankan,” katanya.
Pihaknya memohon diberikan ruang dan peluang untuk meneruskan siasatan bagi memastikan setiap elemen yang ada dapat disiasat dengan teliti.
“Kami tidak akan meninggalkan sebarang aspek atau unsur yang perlu disiasat. Sama ada terdapat elemen lain, siasatan akan terus dijalankan,” katanya.
Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.
Semalam portal ini melaporkan Tengku Nizaruddin atau lebih dikenali sebagai Ija yang juga pempengaruh permotoran hilang selepas kereta jenis Perodua Axia putih dipandunya terjunam dalam sungai berkenaan.
Bagaimanapun, Ija tidak ditemui dalam kenderaannya itu sehingga kini.- MalaysiaGazette















