KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menjangkakan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) Sabah bakal menjadi pengakhiran buat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri itu.
Dakwa beliau, `kapal’ Bersatu Sabah kini semakin mengecil akibat atau musibah apabila parti itu sendiri lahir daripada tipu muslihat politik pemimpinnya.
Jelas beliau, seramai sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN); empat Ahli Parlimen dan dua Senator serta 21 daripada 25 Ketua Bahagian UMNO di Sabah melompat secara senyap menyertai Bersatu.
Sehubungan itu, katanya, bukanlah sesuatu yang menghairankan sekiranya pemimpin-pemimpin berkenaan kemudiannya meninggalkan Bersatu dan menubuhkan pula Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“UMNO Sabah lahir pada 21 Febuari 1991. Presiden (Tun Datu Mustapha), Timbalan, Naib Naib dan wakil 48 Bahagian USNO serta 50,000 ahli menyerah borang masuk UMNO di hari tersebut.
“Almarhum Tun Mustapha kata, kami berpindah dari kapal kecil ke kapal besar. UMNO bermula suci apabila memenangi PRK Usukan melalui Tun Mustapha pada bulan Mei 1991.
“Bersatu pula bermula palsu melalui ADUN UMNO yang melompat parti. Sebab itu ia gagal membunuh UMNO kerana yang lari cuma ketua di atas sedangkan ahli di bawah istiqomah.
“Sebaliknya Bersatu menggelupur bila Hajiji buat kapal baru. Bersatu terkontang-kanting kerana ketiadaan pelapis, jentera akar umbi dan tokoh lokal berbisa,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) menegaskan akan menolak untuk bekerjasama dengan GRS yang didakwa mengkhianati parti itu selepas keluar daripada PN dan membentuk kerajaan negeri.
Katanya, ketika GRS masih bersama PN, beliau menamakan gabungan itu supaya lebih dikenali, namun Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor mendaftarkan GRS sebagai sebuah parti politik dan keluar daripada PN. – MalaysiaGazette
















