Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli selepas sidang media mengenai isu institusi kehakiman, reformasi dan kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara ketika di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 07 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli serta Ahli-ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) lain yang bersama beliau dalam mengkritik isu kehakiman disifatkan sebagai pemimpin dan `aset’ besar kepada negara.

Sehubungan itu, kesemua mereka tidak wajar dikenakan tindakan disiplin oleh PKR susulan tindakan mereka itu, kata pemerhati politik yang juga pensyarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim.

Beliau yang juga Felo Penyelidik Unit Literasi dan Advokasi Politik UMT menambah, PKR dan kerajaan perlu mengadakan perbincangan dan rundingan yang konstruktif supaya mereka boleh terus memberi sumbangan bermakna kepada negara, khususnya untuk membangun Malaysia yang lebih baik.

Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim

 

Menjelaskan lebih lanjut, tambahnya, keberanian kumpulan Ahli Parlimen PKR berkenaan bersuara sehingga dilihat menentang kerajaan adalah selari dengan kedudukan PKR sendiri sebagai sebuah parti reformasi yang didirikan atas idealisme kritikal.

Tidak dinafikan, sekiranya menggunakan tafsiran model politik lama, sudah pasti tindakan Rafizi bersama lapan Ahli Parlimen PKR lain itu akan dianggap tidak baik oleh anggota dan kepimpinan parti.

“Namun persoalannya, sebagai parti reformasi, adakah model tersebut akan digunakan PKR sebagai asas penilaian?

“Senario politik tanah air berubah dengan sangat pantas sekarang, idealism juga turut berubah dan berkembang dengan sangat dinamik. Sebab itu pandangan saya, situasi yang berlaku ini satu ujian kepada PKR itu sendiri.

“Sama ada mereka ingin mengurus isu ketaatan ahli mengguna model lama, atau membuka ruang wacana, debat, kebebasan bersuara dan kritikal menggunakan model dan perspektif baru,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau ditanya berkenaan desakan beberapa pihak di dalam PKR termasuk kesemua Ketua Cabang di Johor dan Kedah sebelum ini supaya tindakan disiplin termasuk gantung keahlian diambil terhadap Rafizi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR serta lapan Ahli Parlimen PKR lain.

Ia susulan tindakan mereka mengadakan sidang akhbar mengkritik kontroversi lantikan dalam institusi kehakiman yang dilihat memberi imej buruk kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, PKR tidak seharusnya terburu-buru dalam mempertimbangkan tindakan disiplin terhadap kesemua ahli Parlimen berkenaan apatah lagi sehingga mahu menggantung atau memecat mereka.

Ini kerana, katanya, sekiranya tindakan itu diambil, ia akan mencabar status quo PKR itu sendiri sebagai parti reformasi, parti demokrasi dan parti yang terbangun atas idealisme hujah dan wacana.

Sebaliknya, tambah beliau, jalan terbaik untuk PKR dalam menangani polemik tindakan yang dilakukan ahli Parlimen berkenaan adalah terus berunding dan berbincang dengan kumpulan berkenaan.

Apatah lagi, menurutnya, isu yang diutarakan oleh kumpulan berkenaan iaitu berkenaan pelantikan hakim-hakim adalah tentang kepentingan awam dan negara.

“Dalam masa sama, sejak awal itulah idealism perjuangan PKR sejak awal, untuk reformasi institusi.

“Berkongsi idealism yang sama, saya rasa lebih mudah untuk kepimpinan arus perdana PKR berjumpa di titik temu dengan 9 Ahli Parlimen berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast