Keberanian rakyat Turkiye menentang tentera bersenjata diabadikan dalam Muzium Demokrasi 15 Julai.

ANKARA – Sala bererti laungan azan dalam bahasa Turkiye. Gema itu kebiasaannya memanggil ummah untuk menunaikan solat dan menuju kejayaan.

Namun pada 15 Julai 2016 iaitu malam nekad cubaan rampasan kuasa oleh Pertubuhan Pengganas Fetullahist (FETO) suara azan bergema daripada berpuluh ribu masjid di seluruh Turkiye.

Laungan itu bukan memanggil umat Islam bersembahyang tetapi ia adalah suara yang menyeru rakyat negara itu keluar dari rumah masing-masing, berkumpul dan bangkit menentang gerakan untuk menumbangkan sistem demokrasi di negara itu.

Muzium Demokrasi 15 Julai Ankara dibina di bawah tanah.

Berkat laungan azan beratus ribu rakyat Turkiye keluar di jalanan tanpa senjata, hanya nekad dan keazaman digunakan untuk menentang gerombolan 10,000 tentera FETO yang cuba menjatuhkan pemerintaan demokrasi Presiden Recep Tayyip Erdoğan

Dia yang dipilih sebagai Presiden Turkiye pada 2014 diselamatkan oleh rakyat biasa pada malam itu hanya selepas dua tahun menduduki kerusi tersebut daripada ditumbangkan dan kemudian dipilih dua kali lagi pada 2018 dan 2023 untuk memimpin Turkiye.

Sala atau azan menjadi salah satu tema daripada lapan dewan pameran di Muzium Demokrasi 15 Julai Ankara seluas 7,635 meter persegi yang dibuka secara rasmi pada 16 Julai 2019 di daerah Kahramankazan.

Muzium ini dibina di bawah tanah dengan hanya kubah berbentuk elips di atasnya yang melambangkan penyatuan bangsa Turki dilihat dari luar.

Tema lain muzium ini termasuk Rampasan Kuasa di Turki dan Dunia: Meneroka sejarah rampasan kuasa, Ancaman Peluru: Menggambarkan bahaya yang dihadapi dan Terjun ke Kegelapan: Menunjukkan suasana pada malam 15 Julai.

Penggunaan visual teknologi tiga demensi, penata cahaya dan bunyi seolah-olah pengunjung berada pada tempat kejadian.

Selain itu Malam Terpanjang: Menggambarkan peristiwa yang berlaku minit demi minit dan Mereka yang Meninggalkan Jejak”: Memperkenalkan kisah-kisah peribadi mereka yang terlibat juga menjadi tema.

Dua dewan yang lain bertemakan Pengawal Demokrasi: Melambangkan perpaduan rakyat Turki dalam mempertahankan demokrasi dan Menghormati Syuhada: Memberi penghormatan kepada mereka yang terkorban.

Semua dewan pameran menjanjikan pengalaman dan perasaan yang berbeza dari ketakutan, keberanian hinggalah kesedihan kerana ia melibatkan penggunaan visual teknologi tiga demensi, penata cahaya dan bunyi seolah-olah pengunjung berada pada tempat kejadian.

Pengarah Muzium Demokrasi 15 Julai Ankara Ali Haydar Atalar (tiga dari kiri) bersama deligasi media.

Pengarah Muzium Demokrasi 15 Julai Ankara Ali Haydar Atalar berkata, emosi bercampur baur itu adalah perasaan yang dirasai rakyat Turkiye pada malam rampasan kuasa.

“Muzium ini juga direka untuk memaklumkan pengunjung tentang aktiviti haram dan licik struktur selari yang merupakan pelaku cubaan rampasan kuasa 15 Julai.

“Secara keseluruhannya, muzium ini bertujuan untuk memastikan peristiwa perwiraan ini kekal hidup dan disampaikan kepada generasi akan datang,” katanya kepada lebih 200 anggota media termasuk 120 wartawan daripada 41 negara.

Lawatan ke Muzium Demokrasi 15 Julai adalah sempena tahun kesembilan peristiwa 15 Julai 2016 yang menyaksikan cubaan rampasan kuasa di Turkiye dan memperlihatkan azan turut memainkan peranan menyatukan rakyat menentang pengkhianatan sistem demokrasi.

Selain di Ankara terdapat Muzium Demokrasi 15 Julai di Istambul yang turut memaparkan semangat dan keberanian rakyat Turkiye yang hanya bersenjatakan lengan dan kuderat menentang gerombolan tentera yang mahu membunuh demokrasi di negara ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast