Seorang wanita maut manakala 14 lagi termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam 15 meter di kawasan Ladang Permai, Lahad Datu, Sabah, awal pagi tadi. Ihsan Foto : Bomba

 

KUALA LUMPUR – Seorang wanita maut manakala 14 lagi termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam gaung sedalam 15 meter di kawasan Ladang Permai, Lahad Datu, Sabah, awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 5.53 pagi.

Berikutan itu, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dikerahkan ke lokasi kejadian yang diketuai Komander Operasi, PB Yusuf Kassim.

“Sebaik tiba di lokasi pada jam 6.08 pagi, pihak bomba mendapati kesemua 15 mangsa iaitu tujuh lelaki dewasa, tujuh wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki telah dikeluarkan oleh orang awam.

“Pasukan bomba kemudiannya membantu mengangkat mangsa ke atas jalan raya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, seorang wanita berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada  polis untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, 13 lagi mangsa yang mengalami kecederaan serta seorang pemandu yang terselamat telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.53 pagi selepas pasukan penyelamat memastikan keadaan di lokasi selamat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast