KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuk serangan Israel ke atas Damsyik yang sekali lagi mencabuli kedaulatan Syria dan mengorbankan nyawa orang awam yang tidak berdosa.
Menurut Perdana Menteri, serangan itu merupakan perlanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan perjanjian sempadan 1974 antara Israel dan Syria.
Tambah beliau, Syria telah menanggung penderitaan yang sangat besar sejak berdekad-dekad lalu, dan rakyatnya berhak mendapatkan keamanan, bukan keganasan yang berterusan atau campur tangan pihak luar.
“Malaysia bersolidariti bersama rakyat Syria dan menyeru supaya serangan seperti ini dihentikan serta-merta, serta agar komitmen terhadap prinsip kemanusiaan dan kedaulatan undang-undang ditegakkan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam, Israel mengebom ibu pejabat tentera Syria di Damsyik selepas memberi amaran kepada kerajaan pimpinan Islamis di negara itu supaya tidak mengganggu kaum minoriti Druze di Sweida.
Sweida adalah wilayah di selatan Syria yang menjadi pusat kaum itu di mana pertempuran percanggahan mazhab meragut hampir 250 nyawa, menurut sebuah badan pemantau perang. – MalaysiaGazette
















